PENGENDALI Imigresen FC, Yusri Che Lah menyambut baik keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menambah tiga kuota pemain tempatan bagi musim 2025/26, sekali gus memberi nafas baharu kepada persiapan pasukannya menjelang sepak mula Liga Super.
Menurut Yusri, sebagai pasukan baharu yang baru dinaikkan dari Liga A1 Semi-Pro, kelonggaran itu hadir tepat pada waktunya memandangkan Imigresen FC tidak memiliki skuad pembangunan atau pemain muda dari Piala Presiden seperti kelab-kelab mapan lain.
“Sebagai kelab baharu, kami bermula hampir dari sifar. Jadi apabila MFL meluluskan tambahan tiga kuota tempatan, ia membuka lebih banyak ruang untuk saya memilih pemain yang benar-benar diperlukan mengikut keperluan taktikal pasukan,” katanya ketika dihubungi.
Imigresen FC merupakan antara kelab yang dinaikkan ke Liga Super musim ini, dan kini sedang dalam fasa awal latihan pramusim.
Menurut Yusri, pasukannya hanya sempat menjalani latihan penuh selama dua minggu, termasuk sesi bersama pemain import yang baru tiba.
“Masa agak terhad, latihan pun masih dalam fasa awal. Pemain import baru sahaja menyertai pasukan, jadi banyak kerja yang perlu disusun bagi membina keserasian,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun persiapan agak singkat, peluang tetap ada untuk membentuk kesebelasan terbaik jika pemain-pemain menunjukkan kesungguhan dalam latihan.
Dalam masa yang sama, beliau juga menaruh harapan besar terhadap impak pemain import.
“Kita tahu dalam bola sepak moden, pemain import memegang peranan penting. Namun, kekuatan sebenar masih terletak pada kombinasi dan keharmonian antara semua pemain, tempatan dan luar,” katanya.
Pengumuman penambahan kuota pemain tempatan oleh MFL baru-baru ini turut memberi kelegaan kepada beberapa kelab lain dari Liga A1 Semi-Pro yang dinaikkan ke Liga Super, yang sebelum ini menghadapi kekangan dalam membentuk skuad mencukupi.
Melalui keputusan mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL, kesemua kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia musim ini dibenarkan mendaftarkan sehingga 33 pemain, berbanding kuota asal.
“Langkah ini membuktikan pihak MFL mendengar suara kelab dan berusaha memastikan liga berjalan lebih seimbang,” jelas Yusri.