Perak FA, antara pasukan negeri yang mewarnai saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/26. Foto: Perak FA
SAINGAN Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 yang bermula Sabtu dijangka meriah dengan kehadiran beberapa pasukan berstatus negeri seperti Perak FA, Kedah FA dan KDA FC, selain kehadiran pasukan simpanan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Selangor FC II.
Penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli berpandangan penampilan kelab-kelab ini berpotensi menghidupkan semula suasana di stadium menerusi sentimen lokaliti yang kuat dalam kalangan penyokong.
“Ya, saya percaya pasukan negeri seperti Kedah, Perak dan Kelantan memiliki tarikan besar dalam kalangan penyokong masing-masing.
“Kita tunggu dan lihat bagaimana sambutan pada perlawanan pertama nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.
Menurut beliau, faktor saingan yang lebih terbuka dan keseimbangan kuasa antara pasukan menjadikan Liga A1 Semi-Pro tampil lebih kompetitif berbanding Liga Super yang sering dikritik kerana dominasi berterusan satu pasukan.
“Liga A1 lebih terbuka kerana kuota import yang terhad menyukarkan sesebuah pasukan menguasai sepenuhnya saingan.
“Malah, kelebihan pasukan seperti JDT II sekalipun tidak boleh dijadikan jaminan kemenangan mutlak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Pekan juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan bahawa Liga A1 juga memberi peluang lebih adil kepada pasukan negeri yang sebelum ini terpalit dengan isu pengurusan seperti kegagalan membayar gaji, sekali gus menjejaskan sokongan penyokong.
“Penyokong sebelum ini kecewa dan malu apabila pasukan negeri mereka dibelenggu masalah kewangan dan tidak kompetitif dalam Liga Super.
“Tetapi dengan penyertaan dalam Liga A1 yang lebih setara, semangat penyokong pasti kembali pulih,” katanya.
Beliau juga percaya Liga A1 mampu menjadi pentas terbaik untuk mengembalikan maruah kelab-kelab berstatus negeri yang pernah menjadi kuasa besar bola sepak tempatan satu ketika dahulu.