am@hmetro.com.my
IPOH: Ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan pada Isnin lalu, meminta peguam mewakilinya turut serta dalam jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kematian anaknya itu.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, pihak keluarga mewakilkan peguam, Datuk Naran Singh, untuk berada dalam jawatankuasa siasatan kes itu bagi memastikan ketelusan siasatan.
“Saya hendak ahli keluarga juga dilibatkan dalam jawatankuasa itu. Jadi saya mewakilkan Datuk Naran Singh sebagai wakil ahli keluarga untuk menyertai jawatankuasa itu dalam memastikan siasatan dilakukan secara telus,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata, jawatankuasa siasatan yang dianggotai Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwujudkan bagi menyiasat kematian pelatih PALAPES dari UTM itu.
Mengulas lanjut, Ummu Haiman berkata, beliau menerima kunjungan 15 delegasi pengurusan tertinggi UTM di kediamannya di Semenyih, Selangor hari ini bagi menyantuni serta menyampaikan sumbangan berkaitan.
Menurutnya, antara 15 delegasi berkenaan termasuk pensyarah UTM yang berperanan sebagai Timbalan Komandan PALAPES UTM iaitu pensyarah yang sama yang mula-mula memaklumkan kepadanya berita mengenai kematian Syamsul Haris.
“Mereka datang hari ini untuk bertanya khabar, memberi kata-kata semangat dan sedikit sumbangan dari pihak UTM selain hal berkaitan dengan insurans yang bakal diterima oleh ahli keluarga,” katanya.
Semalam, Ummu Haiman dalam satu sidang media bersama Naran Singh di premis pejabat Naran Singh & Co, menuntut agar siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya sewaktu menjalani latihan dikendalikan pasukan PALAPES UTM pada 28 Julai lalu.
Syamsul Haris meninggal dunia semasa menjalani latihan PALAPES UTM di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), Johor, dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan memandangkan terdapat pendarahan yang teruk pada mayat selain kesan lebam di badan.
Ummu Haiman mendakwa pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu menjalani bedah siasat mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah anaknya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian anaknya berpunca daripada sawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd