Wan Mohd Fajarulekram (tiga dari kiri) mewakili jenama popular tempatan, Nasken Coffee, membuat kejutan dengan mengambil alih Kelab Bola Sepak KRW FC sekali gus menyelamatkan pasukan tersebut daripada terkubur selepas bergelut dengan sekatan daripada FIFA. Foto Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN
JENAMA popular tempatan, Nasken Coffee, membuat kejutan dengan mengambil alih Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warrior (KRW FC) sekali gus menyelamatkan pasukan tersebut daripada terkubur selepas bergelut dengan sekatan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Melalui pengambilalihan itu, Nasken Coffee menamakan Wan Mohd Fajarulekram Wan Mokhtar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KRW FC.
Wan Mohd Fajarulekram berkata, pihaknya akan meneruskan segala perancangan yang telah dibuat oleh kepimpinan terdahulu semasa diterajui oleh Nik Hafiz Naim Nik Hassan.
“Bagaimanapun kita akan membuat sedikit penambah baikan bagi memastikan KRW FC menjadi lebih kuat,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Menurut beliau pada masa sama Nasken Coffee akan mengekalkan nama dan logo pasukan yang sedang digunakan ketika ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Fajarulekram pengambilalihan itu dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kebajikan pemain serta mahu memastikan KRW kekal bersaing di Liga A1 Semi Pro.
Terdahulu, Nik Hafiz Naim melepaskan jawatan sebagai Presiden pasukan itu berkuatkuasa serta-merta.
Ia sekali gus menyaksikan Nik Hafiz Naim turut melepaskan keseluruhan pegangan saham dalam pasukan itu.
Tindakan tersebut selepas beliau terkait dengan isu sekatan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai salah seorang pemegang dalam sebuah pasukan sebelum ini.