Nik Hafiz Naim (kanan) melepaskan jawatannya berkuatkuasa serta merta.
NIK Hafiz Naim Nik Hassan melepaskan jawatan sebagai Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warrior (KRW FC) berkuat kuasa serta merta, sekali gus melepaskan keseluruhan pegangan saham dalam kelab tersebut.
Nik Hafiz berkata, tindakan tersebut diambil selepas beliau terkait dengan isu sekatan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai salah seorang pemegang dalam sebuah pasukan sebelum ini.
“Saya harap tindakan ini dapat meredakan kes tersebut selain menjadi pemudah cara untuk KRW FC bermain semula di Liga A1 Semi Pro,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Menurut beliau, peletakan jawatan itu akan dimaklumkan kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk penaja.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pemain ke-12 yang banyak memberikan sokongan kepada KRW FC.
Nik Hafiz Naim memberitahu, kesemua pegangan saham itu dilepaskan kepada Nasken Coffee.
Katanya, Nasken Coffee boleh dianggap sebagai penyelamat kepada KRW berikutan ia sebuah syarikat besar yang mempunyai kemampuan untuk membawa kelab dan pasukan berkenaan mengharungi Liga A1 Semi Pro nanti.
Media sebelum ini melaporkan bahawa FIFA telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan daripada kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC, berhubung isu berbangkit yang belum diselesaikan oleh pasukan terdahulu, Kelantan FC.
Pengurusan kelab itu diberi tempoh shingga esok untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan FIFA.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan bahawa salinan surat tunjuk sebab daripada FIFA telah dihantar kepada pengurusan Kelantan KRW pada Jumaat lalu