PELUMBA muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan menyifatkan musim 2025 sebagai musim terbaik dalam kariernya setakat ini selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam dua kejohanan berbeza – Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent dan FIM MiniGP Malaysia.
Anak jati Terengganu berusia 13 tahun itu tidak berselindung apabila mengakui menyasarkan kejuaraan dalam kedua-dua kejohanan berprestij yang kini menjadi pentas utama perkembangan kariernya.
“Dua kejuaraan ini memang menjadi impian saya musim ini. Semua orang mahu jadi juara, jadi saya akan berusaha lebih keras.
“Insya-ALLAH, saya akan buat yang terbaik untuk merangkul kejuaraan dalam setiap perlumbaan,” katanya.
Ketika ini, Qabil sedang mendahului carta keseluruhan kedua-dua saingan, dengan 173 mata dalam ESBK Talent dan 150 mata dalam FIM MiniGP Malaysia, sekali gus meletakkannya dalam posisi kukuh untuk memburu gelaran berganda di dua benua berbeza.
Tambahnya lagi, prestasi konsisten sepanjang musim ini nyata lebih baik berbanding tahun lalu, apabila berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu menjelang baki tiga pusingan terakhir musim.
“Alhamdulillah, musim ini sangat baik untuk saya. Dari awal hingga pertengahan musim, prestasi saya konsisten dan berada di hadapan.
“Sekarang hanya tinggal tiga pusingan lagi. Saya akan pastikan kesihatan dijaga dan latihan ditingkatkan supaya dapat kekal bersaing dalam kelompok teratas,” ujarnya yang mula berjinak dalam dunia permotoran sejak usia empat tahun.
Qabil turut mempamerkan kebolehan luar biasa apabila berjaya menaiki podium dalam tujuh perlumbaan setakat ini, termasuk mencatat empat kemenangan penuh.
Bagaimanapun, percubaannya untuk meneruskan rentak podium di Litar Navarra, Sepanyol dalam saingan ESBK tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga keempat selepas diasak hebat pelumba dari Sepanyol dan Belanda.
Meskipun demikian, Qabil kekal fokus dan sedar bahawa setiap perlumbaan memberikan cabaran berbeza, terutama dalam saingan ESBK yang penuh kompetitif.
“Lawan-lawan saya sangat pantas dan agresif. Jadi, ini bukan perlumbaan yang mudah. Saya perlu bekerja lebih keras untuk kekal bersaing hingga ke penghujung musim,” katanya.