PROSES pemberian lesen kebangsaan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan First Instance Body (FIB) dilihat mempunyai kelompongan selepas ada kelab mampu memanipulasi dokumen yang dihantar.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kelompongan tersebut bukan sahaja mencemarkan imej MFL tetapi juga turut memperlihatkan situasi kurang baik kepada Liga Malaysia.
Menurutnya, MFL dan FIB perlu menilai kembali proses tersebut selain turut menimbulkan persoalan sama ada terdapat kelab lain juga yang turut sama memanipulasikan dokumen untuk mendapatkan lesen kebangsaan.
“Apabila MFL dan FIB jatuhkan hukuman kepada Kuala Lumpur City (Kl City) dengan alasan pasukan tersebut menghantar dokumen tidak tepat, ia menunjukkan bahawa ada kelompongan untuk terjadinya manipulasi dokumen.
“Ini baru satu pasukan iaitu KL City yang telah dibongkar mengenai tunggakan gaji tersebut sehingga menyebabkan MFL dan FIB melakukan siasatan.
“Akhirnya kita dapat tahu pasukan tersebut menghantar dokumen yang tidak tepat.
“Kita tidak tahu sama ada pasukan lain mungkin ada yang lakukan perkara sama. Saya harap tidak begitu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sebelum ini, FIB telah menjatuhkan hukuman pemotongan mata, denda dan menarik balik lesen AFC yang diberikan kepada KL City selepas pasukan itu didapati menghantar dokumen tidak tepat ketika memohon lesen kebangsaan dan AFC.
Hukuman itu dijatuhkan selepas FIB melakukan proses siasatan secara menyeluruh bermula dengan semakan menerusi sistem AFC CLAS bagi mengesahkan segala deklarasi tunggakan yang menyatakan tiada sebarang tunggakan sehingga 30 Jun 2023 untuk lesen kebangsaan dan 31 Disember 2023 (Lesen AFC), dengan lampiran surat sokongan daripada agensi kerajaan, sebelum penilaian bagi keputusan pemberian lesen.
Selain itu, FIB yang merupakan badan bebas dilantik MFL turut melakukan proses audit dan pertemuan dengan pengurusan tertinggi KL City serta Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada hujung bulan lepas.
Hasil semakan FIB mendapati dokumen yang diserahkan KL City berhubung caruman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengandungi maklumat tidak tepat.
Ia sekali gus bercanggah dengan dokumentasi yang telah diserahkan kepada FIB sebelum tarikh akhir penyerahan dokumen kriteria kewangan pada 31 Ogos 2023 untuk lesen kebangsaan dan 31 Mac 2024 untuk lesen AFC.
Pekan turut melihat cara kerja MFL dan FIB sebagai terkebelakang dan tidak berjalan dengan betul kerana tiada semakan rapi dilakukan selepas dokumen tersebut dihantar.
“Siapa yang sepatutnya menyemak dahulu semua dokumen tersebut terutama membuat siasatan dan menghubungi pihak berkuasa (LHDN, KWSP dan Perkeso) sama ada dokumen tersebut asli atau tidak.
“Apabila perkara ini sudah berlaku ia sudah tentu memberikan kesan dan mencacatkan saingan liga kita,” katanya.
Source link