Kuala Lumpur: Filem F1: The Movie yang kini ditayangkan di pawagam bukan sekadar menghidangkan aksi perlumbaan yang mendebarkan. Ia membuka tirai kepada dunia kejuruteraan, sains data, teknologi automotif dan pengurusan strategik yang jarang diketengahkan secara popular. Tersirat dalam filem ini adalah pelbagai elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang sangat relevan dan berguna dalam konteks pendidikan hari ini.
Mengisahkan Sonny Hayes (lakonan Brad Pitt), bekas pelumba Formula 1 yang kembali ke litar setelah bersara akibat kemalangan, F1: The Movie membawa kita menyusuri cabaran teknikal, krisis generasi, tekanan pelabur serta dinamik kerja berpasukan dalam dunia sukan permotoran elit. Sonny diminta menyertai pasukan APXGP oleh Ruben Cervantes (lakonan Javier Bardem) pasukan baharu yang ketinggalan dalam perlumbaan dan memerlukan perubahan besar.
Menariknya, Sonny bukan hanya kembali untuk berlumba, tetapi juga menjadi mentor kepada Joshua “Joz” Pearce (lakonan Damson Idris), seorang pelumba muda yang berbakat besar tetapi berjiwa panas. Mereka turut dibantu oleh Kate McKenna (lakonan Kerry Condon), pengarah teknikal yang memainkan peranan penting dalam mereka bentuk kereta serta merangka strategi.
Konflik antara pengalaman dan semangat muda, ketegangan antara strategi dan keberanian, menjadikan filem ini bukan sahaja menyentuh emosi, malah membuka mata terhadap betapa kompleks dan saintifiknya dunia Formula 1.
Setiap babak perlumbaan dalam filem ini ibarat satu kuliah fizik yang dipersembahkan secara dramatik. Konsep daya, pecutan, geseran, momentum, serta hukum Newton bukan sekadar teori di papan putih tetapi ia hidup, berlaku dan memberi kesan nyata dalam setiap selekoh, brek dan pertukaran gear.
Contohnya, suhu tayar yang meningkat akibat geseran menghasilkan lebih cengkaman iaitu fenomena fizik yang nyata. Reka bentuk aerodinamik pula mengurangkan seretan udara, satu aspek kejuruteraan yang boleh dibincangkan dalam kelas. Sistem pemantauan masa nyata oleh jurutera data mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) dan analisis data besar untuk mengubah strategi perlumbaan dalam masa sebenar. Ini semua membuktikan bahawa STEM bukan lagi bidang ‘kaku’ yang hanya berlaku dalam makmal atau bilik darjah semata-mata, tetapi wujud secara nyata dan praktikal di luar sana.
Guru STEM boleh menggunakan klip dari filem ini sebagai pencetus idea atau konteks pengajaran. Babak pit stop, misalnya, boleh digunakan untuk membincangkan pengurusan masa dan komunikasi. Babak pengubahsuaian kereta sesuai untuk menerangkan reka bentuk mekanikal dan ujian dalam terowong angin. Visual data dalam cockpit atau bilik kawalan pasukan pula membuka peluang pelajar memahami aplikasi data dalam sukan moden.
Pelajar pula akan lebih mudah mengaitkan teori yang dipelajari dengan dunia sebenar yang penuh aksi dan realistik. Ini sekaligus mengubah persepsi bahawa fizik, matematik dan kejuruteraan itu membosankan malah sebaliknya, penuh cabaran dan menyeronokkan.
Artikel ini menyeru bukan hanya guru, malah ibu bapa agar membuka mata kepada potensi pembelajaran yang wujud dalam kandungan hiburan. Jika anak gemar filem lumba atau permainan video automotif, jangan terus disalah tafsir sebagai ‘buang masa’. Sebaliknya, ini mungkin petanda awal minat terhadap kejuruteraan automotif, analisis data, atau pengurusan teknikal.
Bantu mereka melihat lebih jauh dengan bertanya soalan seperti bagaimana tayar itu boleh melekat di jalan, kenapa tayar perlu ditukar ketika hujan, atau apakah fungsi spoiler di belakang kereta. Soalan begini bukan sahaja mengeratkan hubungan ibu bapa-anak, malah mencetus pemikiran saintifik yang kritikal.
Filem F1: The Movie membuktikan bahawa bidang STEM bukan hanya untuk golongan pakar atau saintis di makmal. Sebaliknya, STEM adalah untuk semua orang. Ia boleh ditemui di trek perlumbaan, dalam strategi pasukan yang bijak merancang, pada enjin kereta yang dilaras dengan tepat, dan dalam setiap keputusan pantas yang membezakan antara juara dan yang tewas walaupun dalam tempoh sepantas satu per seratus saat.
Lebih penting lagi, filem ini memberikan harapan kepada pelajar bahawa ilmu yang mereka pelajari hari ini boleh membawa mereka ke arena antarabangsa sebagai jurutera, saintis data, pereka sistem atau pengurus teknikal.
Sudah tiba masanya kita mengubah cara kita melihat pembelajaran. Dunia semakin pantas, pelajar semakin visual, dan peluang untuk mengajar semakin pelbagai. Filem seperti F1: The Movie bukan sekadar hiburan, tetapi sebenarnya alat pendidikan yang menginspirasikan jika digunakan dengan betul.
Dengan gabungan pendekatan kreatif guru dan sokongan terbuka ibu bapa, kita mampu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja faham STEM, tetapi mencintainya. Kerana kadang-kadang, inspirasi paling kuat bukan datang dari buku tetapi dari dentuman enjin, sorakan penonton, dan cahaya skrin perak yang menyala dalam gelap pawagam.
Oleh Norhafiza Muda
Penulis merupakan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bahagian Fizik, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), dan boleh dihubungi di fizamuda@um.edu.my