syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah memulakan siasatan berdasarkan aduan orang ramai berhubung penyebaran video memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius tindakan menghasil dan menyebarkan kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan dan menimbulkan keresahan orang ramai.
“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.
“MCMC menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan itu sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Menurutnya, sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 (Akta 588).
“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“MCMC komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalah guna, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan tiga lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan.
Kandungan video itu mencetuskan kemarahan ramai kerana didakwa hanya untuk meraih publisiti di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd