mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Semua pihak dinasihatkan menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes Zara Qairina.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan wujudnya penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina, yang dimuat naik dan dikongsi oleh pihak tertentu di media sosial.
Menurutnya, maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.
“Tindakan sebegini bukan sahaja boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung, malah berupaya mengganggu keadilan kepada semua pihak.
“Untuk makluman, segala proses siasatan termasuk isu bedah siasat dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Khalid berkata, sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes Zara Qairina.].
“PDRM mengingatkan bahawa perbuatan itu satu kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat.
“Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan pendedahan maklumat; dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Beliau berkata, PDRM menasihatkan bahawa pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada.
“PDRM kekal komited untuk memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara demi kepentingan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd