LE Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bakal menyaksikan persaingan bertaraf dunia apabila beberapa pelumba elit Grand Tour mengesahkan penyertaan dalam edisi ke-29 yang dijadual berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober ini.
Antara nama besar yang dijangka mencuri tumpuan ialah Fabio Jakobsen (Team Picnic PostNL), Alexander Kristoff (Uno-X Mobility) dan Alberto Dainese (Tudor Pro Cycling Team) iaitu tiga pakar pecut yang masing-masing memiliki rekod kemenangan di Tour de France, Giro d’Italia dan beberapa perlumbaan klasik Eropah.
“Kehadiran mereka merupakan satu penghormatan besar buat LTdL. Ia bukan sahaja meningkatkan prestij kejohanan, tetapi turut menjanjikan perlumbaan yang lebih kompetitif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal pada sidang media pengumuman pasukan di Bukit Jalil.
LTdL 2025 bakal berlangsung sepanjang lapan peringkat melibatkan jarak keseluruhan sejauh 1,257.8 kilometer merentasi kesemua 12 negeri di Semenanjung Malaysia.
Menariknya, edisi kali ini tidak melibatkan pendakian ikonik Genting Highlands, sekali gus menjadikan perlumbaan lebih terbuka dan bersifat taktikal.
Setakat ini, tiga pasukan WorldTeam yang telah mengesahkan penyertaan ialah Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan), Picnic PostNL (Belanda) dan Cofidis (Perancis).
Mereka dijangka menurunkan senarai pelumba handalan termasuk juara peringkat Grand Tour.
Selain itu, lapan pasukan ProTeam turut menghangatkan saingan termasuk Total Energies, Tudor, Uno-X Mobility, VF Group–Bardiani CSF–Faizane, Team Polti–VisitMalta dan Burgos-BH yang mempunyai pengalaman luas dalam perlumbaan seperti Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a España.
Dua pasukan baharu, Unibet-Tietema Rockets (Perancis) dan Team Solution Tech–Vini Fantini (Itali) melengkapkan senarai ProTeam.
Peringkat benua pula menyaksikan 10 pasukan Continental beraksi, termasuk dua wakil tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), selain skuad kebangsaan negara. Pasukan lain yang kembali menyertai termasuk Nusantara-BYC (Indonesia), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO Professional (Korea Selatan), 7Eleven Cliqq (Filipina) dan Thailand Continental Cycling Team.
Chengdu DYC Cycling Team dari China bakal membuat penampilan sulung, menjadikan penyertaan kali ini antara yang paling berwarna-warni dalam sejarah perlumbaan.
Mengulas lanjut, Emir menjelaskan senarai akhir pelumba hanya akan dimuktamadkan 72 jam sebelum perlumbaan bermula sebagaimana ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), namun tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan saat akhir.