PENGENDALI Chelsea, Enzo Maresca mengakui kemungkinan Nicolas Jackson masih terbuka meninggalkan Stamford Bridge pada jendela perpindahan musim panas ini.
Penyerang berusia 24 tahun itu kini dikaitkan dengan perpindahan ke Newcastle United, selepas The Magpies gagal mendapatkan Benjamin Sesko yang telah memilih untuk menyertai Manchester United dari RB Leipzig.
Difahamkan, Chelsea hanya akan mempertimbangkan tawaran yang melebihi dua kali ganda daripada 32 juta pund (RM181 juta) yang mereka bayar kepada Villarreal pada 2023 untuk mendapatkan Jackson.
Ketika ditanya mengenai masa depan pemain antarabangsa Senegal itu, Maresca berkata: “Sebarang kemungkinan boleh berlaku apabila jendela perpindahan dibuka. Ini turut melibatkan situasi Nico.
“Pada masa ini, kami juga sudah membawa masuk dua penyerang, Joao Pedro dan Liam Delap. Jadi kita lihat apa yang akan terjadi.”
Pedro, yang menyertai Chelsea dari Brighton semasa kempen Piala Dunia Kelab, dibeli dengan harga permulaan sekitar 55 juta pound (RM312 juta) dan meledak tiga gol dalam tiga perlawanan, termasuk satu gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Paris Saint-Germain pada aksi final.
Delap pula dibawa masuk dari Ipswich Town dengan nilai sekitar 30 juta pound (RM170 juta) dan turut diberi peluang beraksi dalam siri jelajah pramusim di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, kempen Jackson di Piala Dunia Kelab sedikit terganggu apabila beliau dilayangkan kad merah dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Flamengo.
Biarpun begitu, Chelsea meletakkan tanda harga sekitar 65 juta pound (RM368 juta) bagi pemain itu, berdasarkan prestasi konsisten sepanjang dua musim pertamanya yang mencatat 10 gol dan lima bantuan jaringan dalam 30 perlawanan liga musim lalu, selepas merekodkan 14 gol dan lima bantuan dalam 35 penampilan pada musim sulungnya.
Jackson yang menandatangani kontrak jangka panjang sembilan tahun sehingga 2033 pada September 2024, kekal sebagai aset penting buat The Blues juga menjadi perhatian gergasi Bundesliga, Bayern Munich.