hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis meminta ahli perniagaan Rita Sosilawati tampil membantu memberi maklumat berhubung dakwaan taktik penipuan terbaharu apabila mendakwa menerima bungkusan disyaki berisi ganja daripada individu tidak dikenali di kediaman ahli keluarganya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan berkenaan, setakat ini.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya menyeru pihak berkenaan supaya tampil membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
“Kita minta individu terbabit tampil membuat laporan polis supaya siasatan boleh dilakukan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Pada Rabu lalu, media melaporkan Erni Dekritawati Yuliana atau dikenali sebagai Rita Sosilawati memuat naik satu hantaran di Thread miliknya mendakwa adiknya menerima menerima satu bungkusan mencurigakan.
Dakwanya, walaupun alamat tertera pada bungkusan kediaman adiknya namun mereka tidak mengenali nama penerima.
“Scam terbaru, alamat rumah pun dah tak selamat. Semalam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) datang rumah adik.
“Mereka kesan parcel alamat rumah yang (dihantar) dari Thailand mengandungi ganja seberat tujuh gram,” tulisnya yang turut memaklumkan laporan polis juga sudah dibuat.
© New Straits Times Press (M) Bhd