Kemampuan diuji lagi

Kemampuan diuji lagi

Kemampuan diuji lagi


mohamadridzuan@hmetro.com.my

SELEPAS kejayaan musim pertamanya drama bersiri Boleh Saya Bantu? kembali untuk musim kedua.

Drama arahan Shuhaimi Lua dijangka terus menceriakan suasana penonton dengan kisah mencuit hati, lebih dramatik dan huru-hara.

Jika sebelum ini penonton disajikan dengan gelagat lucu pekerja hotel Tea Tree yang berdepan pelbagai kerenah tetamu, kali ini perjalanan mereka diteruskan dengan penceritaan lebih mendalam dan penuh warna, diselitkan konflik peribadi yang bakal merubah segalanya.

Boleh Saya Bantu? 2 bukan sekadar menghidangkan kisah cinta dan komedi, sebaliknya turut menyentuh pelbagai realiti mencabar yang dihadapi pekerja hotel, suatu kehidupan yang jarang diberi tumpuan di kaca televisyen.

Pelakon Andi Bernadee yang kembali menggalas watak utama sebagai Nasar mengakui ia bukan tugas mudah, apatah lagi membawakan karakter seorang duda yang sarat konflik dalaman.

“Saya sendiri tak pernah berkahwin, jadi nak faham emosi seorang lelaki yang pernah gagal dalam hubungan memang mencabar,” katanya.

Bagi Andi, watak Nasar turut membawa mesej bermakna dengan menampilkan sisi lelaki yang juga punya emosi, terutama apabila berdepan tekanan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi.

“Saya juga ada berbual dan mendapatkan maklumat daripada kawan-kawan yang dah berkahwin dan pernah lalui masalah ini. Saya cuba selami kehidupan mereka. Ada yang ‘struggle’ dan ada yang dia reda, ayat yang paling saya ingat ialah, ‘life must go on.’

“Saya faham pastinya ada waktu sedih dan ada waktu gembira. Jadi saya ambil pendekatan berdasarkan skrip drama ini,” ujar Andi.

Sementara itu, rakan seangkatan Andi, Riena Diana yang membawa watak Farida dalam siri ini menyifatkan kisah yang dipaparkan mempunyai kaitan dengan kehidupan sebenar.

“Ada babak yang sangat dekat dengan realiti, seperti isu penderaan fizikal, mental dalam hubungan, kosmetik berbahaya serta wanita bekerjaya yang sanggup menyara ‘biawak hidup’.

“Setiap babak dalam drama ini membawa tafsiran tersendiri, mencerminkan realiti masyarakat dari sudut pandang dunia pekerja di hotel.” katanya.

Musim ini diserikan dengan kemunculan watak baharu seperti Aliff Hadi serta penampilan istimewa artis berpengaruh tanah air antaranya Fadlan Hazim, Khatijah Tan, Joey Daud, Muaz Zabir, Josiah Hogan, Ropie, Fizo Omar dan ramai lagi.

Di samping mengekalkan teraju utamanya selain Andi, Riena, Mark Adam, Wanie Ooi dan Nasz Sally.

Penonton akan dibawa menyelami kehidupan Nasar yang penuh liku selepas melalui perceraian mengejut dengan Jannah. Kini ditugaskan untuk menguruskan Love Wave Hotel, sebuah hotel milik Tuan Joe yang hampir bankrap, bersama Datuk Sudin, hidupnya menjadi semakin rumit apabila terjerat dalam cinta tiga segi antara Farida dan Haiza.

Nasar yang pada awalnya cuba merahsiakan situasi sebenar akhirnya akur apabila statusnya terbongkar, namun bertegas untuk menjauhkan diri daripada sebarang komitmen kerana masih dihantui trauma perkahwinan yang gagal. Keadaan menjadi semakin bercelaru apabila dia dipujuk untuk kembali bersama Jannah, sesuatu yang enggan diterimanya.

Di sebalik kekalutan emosi, misi menyelamatkan operasi Love Wave Hotel turut dilanda berbagai-bagai dugaan tersendiri. Rentetan insiden luar jangka mula berlaku, daripada kehadiran tetamu mencurigakan, panggilan misteri, kemunculan bomoh moden, hinggalah penemuan satu wasiat yang bakal menentukan jodoh sebenar Farida.

Mampukah Nasar memberi sepenuh perhatian dalam menguruskan hotel saat emosinya sendiri masih terganggu? Dan apakah sebenarnya rahsia yang tersimpan di sebalik wasiat yang tiba-tiba muncul itu?

Saksikan ‘Boleh Saya Bantu? 2,’ yang disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu jam 9 malam mulai 8 Ogos di slot Lestary TV3.

Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top