Paris: Sepanyol yang sedang dalam keadaan terbaik percaya mereka boleh mengakhiri penantian selama 32 tahun untuk meraih emas Olimpik dalam bola sepak lelaki apabila mereka bertemu tuan rumah Perancis dalam perlawanan akhir tengah malam esok di Parc des Princes.
Sepanyol mahu menutup musim yang cemerlang di mana pasukan senior dan bawah 19 tahun mereka meraih gelaran kejuaraan Eropah, kurang dari setahun selepas juga memenangi Liga Negara-Negara UEFA.
Jurulatih Sepanyol, Santi Denia berkata, pasukannya sedar mereka berada dalam kedudukan yang sempurna untuk mendapatkan satu-satunya trofi yang masih belum ada dalam kabinet mereka.
“Kami berasa gembira kerana kami menjadi penanda aras di Eropah dan dunia, ia adalah kerja yang dilakukan selama bertahun-tahun,” kata jurulatih Denia dalam satu sidang media.
“Kami meningkat dan terus bekerja, percaya pada model permainan dan profil pemain yang mewakili kami.
“Jika kami menunggu pingat emas selama bertahun-tahun, ia adalah cabaran dan kegembiraan tambahan.”
Kapten Abel Ruiz bersetuju dengan kata-kata jurulatihnya dan menambah bahawa ia adalah motivasi untuk pasukan bawah 23 tahun kerana mereka tidak melihat Sepanyol memenangi gelaran pada tahun 1992 di Barcelona.
© New Straits Times Press (M) Bhd