Jepun dalam kelas tersendiri

Jepun dalam kelas tersendiri


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad wanita bawah 20 (B-20) negara, Cameron Ng mengakui pasukannya berada jauh di belakang selepas dibelasah 0-16 oleh gergasi Asia, Jepun dalam aksi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026.

Menurut Cameron, perlawanan tersebut menjadi pengajaran yang cukup pahit namun penting untuk dijadikan panduan dalam membina pasukan lebih mantap pada masa depan.

“Kami ada pelan permainan kami pada awalnya, tetapi tidak mampu melaksanakannya di dalam padang. Jepun bermain mengelilingi kami, malah pada awalnya mungkin kami terlalu menghormati mereka.

“Hakikatnya, mereka pasukan yang jauh lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, kelmarin.

Beliau mengakui pasukan wanita negara perlu memulakan pembangunan pemain pada usia lebih muda dan tidak boleh menunggu hingga mereka mencecah usia 20-an.

“Kalau kita mahu mencabar, kita perlu lebih baik, lebih bersedia dan mempunyai pemain yang berkualiti.

“Ia satu proses panjang dan kekalahan ini membuktikan tahap kita sekarang masih belum cukup,” jelasnya.

Cameron turut mendedahkan beliau menukar taktikal pada separuh masa pertama selepas strategi awal bertahan dengan lima pemain di bahagian belakang tidak menjadi.

“Ini juga proses pembelajaran untuk saya sebagai jurulatih muda, untuk pemain, staf, malah seluruh persiapan pasukan.

“Menang atau kalah, kami akan pulang, menilai semula dan belajar daripada perlawanan ini,” katanya.

Malaysia akan menutup kempen kelayakan bertemu Guam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini dengan misi mencari keputusan positif sebelum melabuhkan tirai saingan.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top