‘Ada VAR tapi macam tiada’

‘Ada VAR tapi macam tiada’


SEPAK mula Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26 sudah bermula. Seperti diduga, satu piala sudah sah menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila membenam Selangor FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Tiga piala lagi menunggu untuk Harimau Selatan menyapu bersih kesemuanya seperti musim lalu.

Tiada siapa yang berani mempertikaikan kehebatan skuad ‘dream team’ dan kebanggaan orang Johor ini yang memiliki segala aspek kelebihan serta kekuatan sebagai sebuah kelab bola sepak profesional berkelas dunia.

Tidak perlu saya kongsikan atau senaraikan segala kelebihan tersebut kerana netizen bola sepak juga sudah maklum.

Saya tidak mahu menyentuh tentang kualiti permainan kedua-dua pasukan malam kelmarin. Bagi saya, liga baru bermula dan setiap pasukan akan berubah menjadi lebih mantap daripada satu perlawanan ke perlawanan berikutnya.

Cuma saya tidak pasti sama ada netizen, peminat, dan pemerhati bola sepak lain menyedari atau tidak sesuatu yang saya rasakan agak pelik berlaku sepanjang perlawanan antara JDT dan Selangor ini yang disiarkan secara langsung itu.

Terlebih dahulu, maafkan jika saya terlepas menonton atau terlepas pandang sewaktu meninggalkan siaran langsung untuk makan malam beberapa minit sebelum tamat babak pertama.

Saya tidak berniat menimbulkan sebarang kontroversi atau mempertikaikan keputusan pengadil dalam perlawanan tersebut.

Saya cuma ingin menyentuh tentang fungsi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam perlawanan malam kelmarin yang saya rasa seperti ada, tetapi seolah-olah tiada.

Saya tidak melihat langsung walau sekali pun semakan VAR dibuat dan diputarkan di kaca televisyen ketika siaran langsung.

Tanpa sebarang prejudis, walaupun agak pelik, mungkin ada beberapa kemungkinan, antaranya kerana pengadil pada malam itu terlalu cekap hingga khidmat VAR tidak diperlukan.

Atau, tidak banyak situasi sukar atau mengelirukan yang memerlukan pengadil membuat rujukan kepada pasukan pengadil VAR.

Mungkin juga pasukan pengadil VAR tidak mengesan sebarang kekasaran yang memerlukan pengadil utama membuat rujukan kepada VAR. Atau tiada permintaan atau protes dibuat oleh ketua pasukan terhadap sesuatu insiden dalam perlawanan itu.

Saya berpendapat ia satu kelebihan yang tidak digunakan sepenuhnya dengan baik dan profesional. Ia rugi kerana membabitkan kos logistik dan tenaga pengadil tambahan.

Apabila tiada langsung keperluan visual ulang tayang VAR bersandarkan kepada mana-mana insiden atau pengesahan jaringan gol yang boleh disiarkan secara langsung di televisyen untuk pemerhatian bersama, adakah itu bermakna semakan VAR tidak diperlukan?

Sedangkan ia boleh diminta oleh pengadil sendiri untuk menyemak keputusan yang dibuat.

Secara tidak langsung, ini menonjolkan sifat ketelusan pengadil serta dapat meningkatkan kepuasan semua pihak, termasuk memudahkan pengulas dan penganalisis membuat ulasan ketika siaran langsung.

Mungkin ekspektasi saya terhadap penggunaan VAR agak tinggi dan saya rasakan faedah penggunaannya sepatutnya berbaloi, terutama selepas beberapa tahun liga kita menggunakannya. Sudah pasti saya berharap sistem itu semakin kemas, cekap, dan telus.

Dalam konteks penggunaan teknologi VAR, ia bukan sahaja membantu pengadil mengesahkan keputusan yang dibuat, tetapi janganlah ia sekadar komunikasi tersembunyi antara pengadil di padang dengan pengadil di bilik VAR sahaja.

Memang penonton tidak boleh mengetahui butiran komunikasi tersebut, namun kita mahu melihat ulang tayang atau visual bagaimana gol itu berlaku.

Bukan untuk mempertikaikan keputusan gol tersebut. Gol tetap gol, tetapi inilah tujuan VAR yang sepatutnya selari dengan siaran langsung televisyen.

Malangnya, visual ulang tayang langsung tidak diputarkan. Hanya kelihatan gerak mulut pengadil berkomunikasi, kemudian mengangguk dan menunjuk ke arah tengah padang sebagai tanda gol disahkan.

Situasi pelik juga berlaku ketika analisis dibuat oleh penganalisis sukan sewaktu rehat separuh masa pertama.

Saya pelik mengapa tiada langsung ulasan tentang gol pertama JDT yang dijaringkan seawal dua minit perlawanan bermula, sedangkan itu sepatutnya menjadi topik utama perbincangan.

Sebaliknya, penganalisis ini seolah-olah tidak dibenarkan mengulas tentang gol terpantas itu. Lebih janggal apabila visual ulang tayang gol tersebut juga langsung tidak dipaparkan.

Jika di Liga Perdana Inggeris (EPL), ulang tayang itu pasti dipaparkan berulang kali dari pelbagai sudut. Apa sudah jadi?

Beginikah kualiti saluran televisyen sukan yang dianggap hebat di negara ini? Sebaliknya, sorotan dan analisis hanya menunjukkan percubaan JDT dan Selangor yang tersasar sahaja.

Adakah wujud halangan teknikal atau ia disengajakan atas sebab tertentu? Hanya jabatan pengadilan FAM dan pihak produksi TV yang tahu.

Sayang seribu kali sayang. Sebagai peminat bola sepak, bekas pemain, dan penganalisis sukan negara, saya agak kecewa dan berharap selepas ini penggunaan VAR dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sekadar “Ada Tapi Macam Tiada”.

*Penganalisis Sukan Tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli

 

 



Source link

OR

Scroll to Top