BEKAS pengendali Manchester United, Erik ten Hag menegaskan Cristiano Ronaldo ‘tidak pernah menjadi masalah’ kepada pasukan sepanjang tempoh penuh kontroversi mereka bersama pada 2022, walaupun kontrak bintang Portugal itu akhirnya ditamatkan selepas satu insiden membabitkanya dengan kelab itu.
Jurulatih dari Belanda yang kini membimbing kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen itu bercakap selepas pasukannya tewas 0-2 dalam aksi persahabatan menentang Chelsea di Stamford Bridge pada Sabtu kurang 24 jam selepas Ronaldo meledak hatrik ketika membantu Al-Nassr menewaskan Rio Ave 4-0 dalam aksi pramusim.
Seorang wartawan bertanya secara terus kepada Ten Hag yang mempersoalkan sama ada Ronaldo menjadi masalah besar di United ketika kembali semula bersama kelab itu pada 2021.
“Bagi saya, dia bukan masalah. Dia tidak pernah menjadi masalah dan itu sudah menjadi sejarah.
“Ia sesuatu yang telah berlaku. Selepas itu, United menang dua trofi. Saya doakan yang terbaik untuk masa depannya,” katanya.
United dan Ronaldo bersetuju menamatkan kontrak secara bersama pada November 2022, hanya beberapa hari selepas wawancara eksklusif pemain itu bersama Piers Morgan disiarkan yang turut mengkritik kelab dan Ten Hag sendiri.
Kali terakhir Ronaldo beraksi untuk United adalah ketika tewas 1-3 kepada Aston Villa pada 6 November.
Ronaldo kemudian menyatakan dia tidak pernah menyesal dengan wawancara tersebut yang dilakukan sebelum Piala Dunia 2022.
“Masa adalah masa. Dari sudut pandangan anda, mungkin mudah untuk menilai bila sesuatu patut dilakukan. Kadang-kadang anda tulis kebenaran, kadang-kadang tidak.
“Saya tidak perlu risau apa yang orang lain fikir. Saya bercakap bila saya mahu. Semua orang kenal siapa saya dan apa yang saya percaya,” katanya.
Ronaldo menyertai Al-Nassr pada Januari 2023 dan sejak itu telah menjaringkan 99 gol dalam 111 penampilan kompetitif. Walaupun masih belum menjuarai Liga Pro Saudi, persembahannya tetap mencuri tumpuan.
Ten Hag pula membanggakan kejayaannya membawa United memenangi Piala Carabao pada 2023 dan Piala FA menewaskan Manchester City pada 2024 sebagai bukti rekodnya di Old Trafford.
“Anda kena tanya kelab (Leverkusen) jika rekod trofi saya menjadi tarikan. Apa yang pasti, saya sentiasa mahu menang trofi, itu yang saya lakukan sepanjang karier saya. Saya mahu teruskan proses ini di Leverkusen, itu cabaran saya,” ujarnya.