Malaysia juara Kejohanan Ragbi 7s Sekolah Asia di Hong Kong pada Ahad.
SKUAD Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) melakar sejarah gemilang apabila muncul juara edisi keempat Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Sekolah Asia di King’s Park Sports Ground, Hong Kong pada Ahad.
Kejohanan yang berlangsung pada 9 dan 10 Ogos itu dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Sekolah Asia menerusi Persekutuan Sukan Sekolah Hong Kong disertai lima negara iaitu tuan rumah Hong Kong, China, Kazakhstan, Singapura dan Thailand.
Skuad negara edisi 2025 dibarisi gabungan pemain terbaik daripada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan misi mengekalkan kelayakan ke perlawanan akhir selepas muncul naib juara edisi ketiga di Educity Iskandar Puteri, Johor pada 2019.
Diundi dalam Kumpulan B bersama Kazakhstan dan China, skuad negara mempamerkan aksi mantap di peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Kazakhstan 40-5 dan China 29-12.
Momentum itu diteruskan di separuh akhir apabila Malaysia mudah menundukkan Thailand 24-5 sekali gus mengesahkan slot ke pentas akhir menentang Singapura.
Perlawanan akhir berlangsung sengit apabila Singapura dan Malaysia terikat di penghujung masa permainan hasil try Amar Syamim Nor Herman dan conversion Arieq Anaqi Anuar.
Aksi diteruskan ke masa tambahan sebelum Anas Zulqnain Nizan muncul wira negara dengan ‘golden try’ untuk memastikan Malaysia menang 31-26.
Kejayaan ini menyaksikan Malaysia menambah koleksi podium selepas menduduki tempat ketiga edisi pertama dan kedua di Hong Kong, selain naib juara pada edisi ketiga di tanah air.
KEPUTUSAN
Kejohanan Ragbi 7s Sekolah Asia
Kumpulan B
Malaysia 40 – 5 Kazakhstan
Malaysia 29 – 12 China
Separuh akhir
Malaysia 24 – 5 Thailand
Akhir
Malaysia 31 – 26 Singapura