Skuad muda negara boleh pergi lebih jauh

Skuad muda negara boleh pergi lebih jauh


Skuad B-18 negara muncul juara Kejohanan Ragbi 7s Sekolah Asia di Hong Kong.

SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) Bawah 18 Tahun (B-18) negara melakar sejarah manis apabila menjuarai Kejohanan Ragbi 7s Sekolah Asia edisi keempat di King’s Park Sports Ground, Hong Kong, pada Ahad.

Dalam aksi final, skuad Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kendalian Mohammad Nazeer Mohamed Nesharah menundukkan Singapura 31-26 untuk mengesahkan kejuaraan.

Kejayaan itu disifatkan Nazeer sebagai bukti potensi besar pasukan jika persiapan dilakukan dengan lebih rapi pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, kita berjaya menjadi juara dan semua pemain menunjukkan komitmen tinggi. Kerjasama mereka di atas padang sangat baik dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.

“Insya-ALLAH, pasukan ini berpotensi pergi lebih jauh jika diberikan peluang, namun dari segi persediaan, kita perlu lebih rapi untuk menentang pasukan yang lebih kuat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) atas sokongan serta peluang yang diberikan untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.

Kejohanan anjuran Persekutuan Sukan Sekolah Asia bersama Persekutuan Sukan Sekolah Hong Kong itu disertai lima negara iaitu tuan rumah Hong Kong, China, Kazakhstan, Singapura dan Thailand.

Skuad negara yang dibarisi gabungan pemain terbaik Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) diundi dalam Kumpulan B bersama Kazakhstan dan China.

Malaysia bermula cemerlang apabila menewaskan Kazakhstan 40-5 sebelum mengatasi China 29-12 di peringkat kumpulan.

Momentum kemenangan diteruskan di separuh akhir dengan menundukkan Thailand 24-5 sekali gus melangkah ke pentas final menentang Singapura.



Source link

OR

Scroll to Top