Jangan tambah luka, undang fitnah ketika layari media sosial – Ustaz Hanafi

Jangan tambah luka, undang fitnah ketika layari media sosial – Ustaz Hanafi


“HATI mana yang tidak sedih apabila mengikuti kes arwah Zara Qairina. Perasaan berbaur antara hiba, marah dan tanda tanya.

“Apa yang kita boleh lakukan buat masa ini adalah berdoa agar pemergian arwah mendapat pembelaan yang sebaiknya.”

Begitulah luahan pendakwah, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali dengan Ustaz Hanafi ketika mengenangkan kembali kisah yang menimpa pelajar itu di Facebooknya pada Selasa.

Katanya, beliau faham apabila timbulnya isu yang besar, kita sebagai orang awam yang mempunyai hati dan perasaan, mudah terseret dengan arus berita.

USTAZ HANAFI

“Kita baca, kongsi, tambah dan kadang-kadang kita sebar tanpa kita sedar ia belum tentu sahih.

“Di sinilah ALLAH hendak ajar kita erti sabar.

“Sabar bukan bermaksud sekadar menunggu. Tapi sabar itu menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menambah luka, mengundang fitnah atau menghalang keadilan,” jelasnya.

Ujarnya, kita semua ingin tahu apa yang berlaku memandangkan pelbagai persoalan bermain di minda masing-masing mengenai kisahnya.

“Tapi di saat ini, marilah kita tahan lidah, kawal jari dan pelihara hati. Biarlah proses siasatan berjalan dengan adil dan doa kita menjadi bekal buat arwah di alam sana,” katanya.

Beliau kemudiannya berkongsi beberapa tip sabar ketika melayari media sosial dan ia boleh diamalkan pada bila-bila masa sahaja:

1 – Tahan diri jadi orang pertama yang sebar berita

Menurut Ustaz Hanafi, kadang-kadang apabila nampak satu berita panas, tangan kita rasa gatal mahu jadi orang pertama yang kongsikannya.

“Niat kita mungkin nak bagi orang lain tahu, tapi kita lupa setiap perkongsian itu kalau salah atau belum pasti, ia boleh jadi fitnah yang menambahkan luka keluarga mangsa.

“Ustaz nak ajak kita fikirkan. Kalau berita tu benar, ia takkan jadi salah walaupun kita lambat tahu. Tapi kalau berita tu palsu, kita yang awal sebarkan akan bawa dosa tu sampai akhirat,” hurainya.

Ujarnya, belajarlah bersabar walau hati membuak mahu tekan butang kongsi.

PENYEBARAN berita palsu semakin mudah melalui media sosial. Foto Canva

PENYEBARAN berita palsu semakin mudah melalui media sosial. Foto Canva

“Ingat, di alam digital ini, jari kita boleh jadi penyambung kebaikan, tapi juga boleh jadi penyambung dosa,” pesannya.

2 – Guna kata yang menenangkan, bukan membakar

Ustaz Hanafi menyatakan beliau sering mengulangi frasa ‘Words can cause peace. Worlds can cause war’ yang bermaksud kata-kata boleh menyebabkan keamanan dan kata-kata juga boleh mengakibatkan perang.

“Hati-hati dengan bahasa yang kita gunakan. Bila emosi tinggi, kita cenderung untuk menulis dengan nada marah. Tapi marah di media sosial ni ibarat api yang disiram minyak.

“Makin ramai komen, makin ia membesar. Kalau kita betul-betul nak membantu, pilih perkataan yang menyejukkan hati. Gunakan bahasa yang mengajak orang bertenang, bukan yang menghasut atau melaga-lagakan,” jelasnya.

3 – Doa sebelum komen

Ujar pendakwah itu, kebanyakan orang merasakan komen yang dibuat itu menandakan kita peduli, namun apakah kita berdoa sebelum menulis komen tersebut?

“Sebab doa itu lebih kuat dari kata-kata kita. Komen kita mungkin sampai pada beberapa orang, tapi doa kita sampai terus kepada ALLAH yang MAHA MENDENGAR.

“Cuba biasakan sebelum kita taip sesuatu, kita berhenti sekejap dan panjatkan doa. Doa supaya keluarga mangsa kuat, doa supaya kebenaran terbongkar, doa supaya pelaku menerima balasan setimpal,” nasihatnya lagi.

Apabila doa jadi langkah pertama ujarnya, komen akan ditulis dengan hati yang lebih tenang dan bukannya dari hati yang penuh dengan amarah.

4 – Jangan tambah cerita yang tak pasti

Menurut Ustaz Hanafi, kadang-kadang tanpa disedari ketika mengulas sesuatu isu, kita mula menambah ‘agak-agak’ atau ‘rasanya’, sedangkan ia tidak ada dalam berita.

“Walaupun niat nak bagi lebih jelas, sebenarnya kita sedang mencipta versi baru yang mungkin tak benar. Setiap orang yang baca dan percaya, kita dapat ‘saham’ daripada kesilapan tu.

“Ingat, lidah ini satu hari nanti akan jadi saksi depan ALLAH. Di media sosial, jari kita pun akan bersaksi. Kalau kita tak pasti, lebih baik kita diam.

“Lebih mulia menahan diri daripada bercakap perkara yang tak tentu sahihnya, daripada jadi punca orang lain terus salah faham,” hurainya panjang.

SABAR dan tahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menambah luka, mengundang fitnah atau menghalang keadilan. Foto Canva

SABAR dan tahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menambah luka, mengundang fitnah atau menghalang keadilan. Foto Canva

5 – Sedar bahawa setiap tulisan ada harga di akhirat

Jelasnya, media sosial ini tempat ujian memandangkan setiap komen, perkongsian, kata-kata dan tulisan semuanya dicatat.

“Kalau kita menyebarkan kebaikan, kita dapat pahala. Tapi kalau kita menyebarkan fitnah, kita akan tanggung dosanya.

“Bila sedar tulisan ada harga di akhirat, kita akan lebih berhati-hati. Kita akan fikir dua, tiga kali sebelum tulis sesuatu. Sebab di dunia, kita boleh delete post. Tapi di akhirat, catatan malaikat tak ada butang delete,” katanya.

Beliau kemudian menjelaskan, untuk menjadi orang yang sabar bukannya perkara mudah.

“Pahit di awal tapi manis di hujungnya. Kadang-kadang kita rasa nak cepat tahu, cepat bertindak dan cepat meluahkan. Tapi ALLAH ajar kita bahawa setiap perkara ada masa dan hikmahnya.

“Jom pujuk hati, jadikan media sosial ini sebagai ladang pahala,” pesannya lagi.

Gunakan ia untuk mendoakan, mengingatkan dan menguatkan hati-hati yang sedang diuji, ujarnya.

“Kerana setiap perkataan yang kita tulis akan hidup lebih lama daripada kita, sama ada ia menjadi cahaya yang menerangi kita di kubur atau api yang membakar di akhirat.

“Pilihlah untuk menulis (agar ia) menjadi cahaya,” nasihatnya.



Source link

OR

Scroll to Top