Bengaluru: Pemain tenis lelaki bakal menerima bonus perkongsian keuntungan berjumlah AS$18.3 juta (RM85 juta) bagi musim 2024, jumlah tertinggi pernah direkodkan, menurut Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP).
Jumlah itu meningkat 177 peratus berbanding musim lalu dan akan diagihkan mengikut prestasi pemain di sembilan kejohanan ATP 1000, iaitu siri berprestij kedua selepas Grand Slam.
Pengerusi ATP, Andrea Gaudenzi berkata, inisiatif itu membuktikan perkongsian keuntungan memberi manfaat seimbang kepada pemain dan penganjur.
“Ini bukti bahawa memperkukuh produk premium dan menyelaras kepentingan bersama mampu mencipta nilai. Ia satu pencapaian besar,” katanya.
Pelan perkongsian keuntungan, yang diperkenalkan pada 2022, membahagikan keuntungan kejohanan ATP Masters 1000 secara sama rata antara pemain dan penganjur, selepas menolak hadiah wang tunai asas di lokasi.
Usaha itu membantu jumlah keseluruhan imbuhan pemain ATP mencecah rekod AS$261 juta (RM1.2 bilion) musim ini, atau AS$378 juta (RM1.76 bilion) jika digabungkan dengan hadiah wang tunai Grand Slam.
ATP juga berada di landasan untuk mencatat lebih banyak rekod termasuk AS$28.5 juta (RM133 juta) hadiah wang tunai Jelajah Cabaran (Challenger Tour) dan bonus AS$3 juta (RM14 juta) bagi siri ATP 500.
Pengembangan beberapa kejohanan Masters kepada 96 peserta turut meningkatkan peluang pendapatan dan meluaskan jumlah pemain yang mampu menjadikan tenis sebagai sumber rezeki mampan.
Selain itu, beberapa venue utama seperti Madrid, Rome, Cincinnati, Shanghai dan Paris giat melakukan penambahbaikan infrastruktur untuk memberi pengalaman terbaik kepada pemain serta penonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd






