Muhamad Akmal beri keterangan selama 2 jam

Muhamad Akmal beri keterangan selama 2 jam


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menjawab kira-kira 80 soalan sepanjang proses rakaman keterangan selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memberi keterangan berhubung demonstrasi di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin, berkaitan isu Jalur Gemilang.

Peguam mewakilinya, Aizat Azam berkata, anak guamnya memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses rakaman percakapan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu pihak itu melengkapkan hasil siasatan mereka.

Menurutnya, rakaman keterangan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 susulan dua laporan polis berkenaan himpunan Solidariti Jalur Gemilang.

Katanya, semua proses berkenaan dilakukan dengan profesional, beretika dan sangat baik.

“Soalan semua dijawab, lebih kurang 80 soalan (ditanya). Beliau (Dr Muhamad Akmal) tidak akan lari dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa jua perkara, serta sentiasa memberikan kerjasama untuk pastikan sebarang proses undang-undang sepertimana termaktub dalam negara ini akan sentiasa dipatuhi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal tiba di IPD Dang Wangi pada 11 malam, semalam untuk proses rakaman keterangan berkenaan dan lebih 50 penyokongnya turut hadir memberi sokongan.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau mengambil tanggungjawab dan memberikan kerjasama dalam proses itu serta menyifatkan dirinya juga tidak takut kerana tindakan dilakukan itu adalah untuk memartabatkan kehormatan negara.

“Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan kehormatan negara tetapi disiasat di bawah Akta Hasutan, saya tidak akan berganjak dan saya beri kerjasama dengan baik.

“Jika ini harga yang perlu saya bayar, maka saya harap rakyat boleh sedar bahawa orang yang buat kesalahan dianggap hero, tapi bila kita mahu memperbetulkan keadaan dianggap sebagai salah,” katanya.

Katanya, beliau turut berterima kasih kepada pihak polis kerana melayaninya dengan baik sepanjang proses rakaman percakapan berkenaan selama dua jam.

Kelmarin, beliau dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top