khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini berharap agar cadangan pelaksanaan perkhidmatan e-Hailing antara Johor dan Singapura dapat dilaksanakan.
Katanya, cadangan pernah diutarakan kepada bekas Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat, namun republik itu pada ketika itu belum bersedia untuk membincangkan isu berkenaan.
“Secara prinsip dan dasar, kita sedia berbincang dengan Singapura untuk meningkatkan ‘connectivity cross-border’ (kesalinghubungan rentas sempadan), tetapi perkara ini tidak boleh dilaksanakan sebelah pihak sahaja.
“Kedua-dua pihak perlu bersetuju barulah ia boleh dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Kerajaan Johor dan syarikat Grab pada Jun lalu dilapor sedang membincangkan kemas kini berhubung Perjanjian Perjalanan Rentas Sempadan bagi melancarkan lagi pergerakan pelancong dan rakyat Johor dan Singapura.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata, perbincangan itu, antara yang diutarakan dalam pertemuannya bersama pengurusan Grab, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan dan menyita empat kenderaan persendirian yang dipandu oleh individu warganegara Singapura melalui Ops Khas e-Hailing Kenderaan Asing pada 13 Ogos lalu.
Selain itu katanya, melalui Ops Khas Kenderaan Pengangkutan Awam (Bas Persiaran Singapura) pada 4 Mei, lima bas persiaran negara itu yang dipandu individu warganegara Singapura juga telah ditahan dan disita.
“(Kes ini melibatkan) empat di Johor Bahru dan satu di Kuala Lumpur. Perkara ini sedang dalam perbicaraan mahkamah.
“Semua kenderaan terbabit tidak mempunyai lesen pengendali yang sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penahanan ini disiasat mengikut kesalahan Seksyen 16(1) APAD 2010 dan penyitaan kenderaan dilaksanakan mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
© New Straits Times Press (M) Bhd






