Kelantan TRW diingatkan jangan leka

Kelantan TRW diingatkan jangan leka


Ifedayo ketika meraikan jaringan gol pada aksi pertama Pusingan 16 Piala FA menentang Kuala Lumpur City di Kota Bharu. Foto Bernama

PENGENDALI Kelantan The Real Warriors (TRW), E Elavarasan menegaskan kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi pertama Pusingan 16 Piala FA di Kota Bharu tidak boleh dijadikan alasan untuk pemainnya leka.

Malah menurutnya, keputusan itu masih belum menjamin laluan selesa kerana TRW perlu berdepan cabaran lebih sukar pada aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pertengahan September depan walaupun memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Sebarang keputusan boleh berlaku apabila kita bertandang di halaman lawan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pada perlawanan itu, kapten Kelantan TRW Ifedayo menyumbangkan dua gol pada minit keempat dan ke-14 dan satu gol lagi dijaringkan oleh S. Selvaraj pada minit ke-62, manakala gol sagu hati KL City FC pula dijaringkan Mohamed Syamer Kutty minit ke-85.

Sementara itu, pengendali KL City, Vidakovic Risto berkata, walaupun tewas, pasukannya tidak berputus asa untuk merebut slot ke peringkat seterusnya.

“Kita ada 90 minit lagi, apa-apa keputusan boleh berlaku, kami memerlukan kemenangan 2-0 bagi mengubah keputusan sekali gus memastikan kami layak ke peringkat seterusnya.

“Saya percaya dengan kemampuan pemain, mereka boleh melakukan sesuatu untuk memperoleh kemenangan,” katanya. – Bernama

 



Source link

OR

Scroll to Top