TAHAP kecergasan pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi mengejutkan kem badminton negara menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris minggu depan.
Pemain berusia 23 tahun itu yang berganding dengan Yap Roy King tidak dapat menjalani latihan pada Isnin kerana demam dan keletihan.
Biarpun sudah kembali ke gelanggang pada Selasa namun, ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi mengakui anak buahnya itu masih belum cergas sepenuhnya.
“Wan Arif demam dan selesema, jadi dia tidak dapat berlatih pada Isnin. Hari ini (Selasa) dia cuba untuk kembali, tetapi hanya berjaya mengikuti dua program.
“Keadaannya masih belum 100 peratus, tetapi harap esok (Rabu) dia akan kembali normal,” katanya.
Malaysia akan menurunkan empat beregu lelaki di Paris dengan pasangan nombor dua dunia Aaron Chia–Soh Wooi Yik dan gandingan nombor tujuh, Man Wei Chong–Tee Kai Wun menjadi sandaran negara untuk meraih gelaran.
Pasangan profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan skuad negara bersama Wan Arif–Roy King yang berada di ranking ke-22 dunia dan membuat penampilan sulung pada kejohanan berprestij tersebut.
Herry mengakui ketika Wan Arif sakit situasi itu membimbangkannya kerana jadual latihan yang padat, namun yakin bahawa pemain muda itu akan pulih tepat pada masanya untuk perlawanan pembukaan.
Mereka akan menentang beregu Jepun yang berada di ranking ke-34 dunia, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.
“Jika anda tanya sama ada saya bimbang, sudah tentu saya bimbang. Tetapi melihatnya hari ini (Selasa), saya masih percaya dia boleh bermain. Harapannya dia cepat pulih,” katanya.
Wan Arif-Roy King berada dalam prestasi terbaik selepas memenangi gelaran Jelajah Dunia pertama mereka di Terbuka Macau awal bulan ini.
“Pada tahap ini, perbezaan antara pasangan adalah sangat kecil. Siapa sahaja yang lebih cergas dan lebih bersedia daripada segi mental serta fizikal mempunyai kelebihan. Itulah sebabnya pemulihan bagi Wan Arif adalah penting,” tambahnya.
Kali terakhir Malaysia meraih kejuaraan dalam beregu lelaki pada Kejohanan Dunia ialah menerusi Aaron–Wooi Yik pada 2022 di Tokyo.