Kemelut Isak–Newcastle rugikan semua – Shearer

Kemelut Isak–Newcastle rugikan semua – Shearer


Alexander Isak. Foto Agensi

LEGENDA Newcastle United, Alan Shearer memberi amaran bahawa krisis antara Alexander Isak dan kelab itu hanya akan memudaratkan kedua-dua pihak jika berlarutan.

Mengulas lanjut, Shearer menganggap kenyataan yang dikeluarkan Isak hanya akan memburukkan keadaan.

“Saya rasa kenyataannya hanya memburukkan lagi kemelut. Ya, kita perlu dengar sisi beliau, dan kita sudah dengar.

“Tapi apa yang berlaku ini sangat tidak menguntungkan sesiapa baik dirinya atau kelab,” kata bekas penyerang England itu.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi tumpuan selepas laporan media mendedahkan Liverpool mengemukakan bidaan £110 juta (RM627 juta) awal bulan ini dengan anak buah Arne Slot bakal berkunjung ke Newcastle, Selasa depan.

Sejak ketegangan tercetus, Isak dilapor berlatih bersendirian dan tidak diturunkan ketika seri tanpa jaringan menentang Aston Villa dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu.

Penyerang antarabangsa Sweden itu mengejutkan ramai apabila meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, dengan mendakwa Newcastle gagal menunaikan janji terhadapnya.

Isak, yang dinamakan dalam Kesebelasan Terbaik PFA Liga Perdana musim lalu, turut mengesahkan hasrat meninggalkan Newcastle menerusi kenyataan di Instagram.

“Apabila janji dimungkiri dan kepercayaan hilang, hubungan tidak boleh diteruskan. Perubahan adalah jalan terbaik untuk semua pihak, bukan sekadar saya,” tulisnya.

Kelab berpengkalan di St James’ Park itu segera membalas kenyataan tersebut dengan menegaskan tiada sebarang komitmen untuk menjual pemain yang masih terikat kontrak hingga 2028.

Newcastle bagaimanapun bertegas mahu mempertahankan aset berharga mereka: “Alex kekal di bawah kontrak dan kami mahu mengekalkan pemain terbaik.

“Namun, kami sentiasa mengambil kira kepentingan kelab, pasukan dan penyokong dalam setiap keputusan. Syarat untuk penjualan musim panas ini tidak wujud, dan kami tidak menjangkakan ia akan berlaku,” jelas kenyataan kelab.



Source link

OR

Scroll to Top