Caicedo antara penyumbang gol buat Chelsea di Stadium London. Foto Agensi
JUARA Piala Dunia Kelab, Chelsea bangkit garang selepas ketinggalan awal untuk membelasah West Ham United 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium London.
West Ham bermula cemerlang menerusi jaringan Lucas Paqueta seawal minit keenam, namun kebangkitan The Blues pantas hadir.
Joao Pedro menyamakan kedudukan pada minit ke-15 sebelum Pedro Neto meletakkan pelawat di depan dengan voli cantik pada minit ke-23.
Gol ketiga Chelsea disumbangkan Enzo Fernandez pada minit ke-34 selepas menerima umpanan bintang muda sensasi Brazil, Estevao Willian.
Separuh masa kedua terus milik pelawat apabila Moises Caicedo menambah jaringan pada minit ke-54, sebelum Trevoh Chalobah melengkapkan pesta gol hanya empat minit kemudian.
Lebih manis, jaringan Pedro yang disambar hasil hantaran Marc Cucurella adalah gol sulungnya dalam saingan liga sejak menyertai Chelsea dari Brighton bulan lalu.
Kemenangan bergaya itu hadir meskipun tonggak tengah Cole Palmer diketepikan saat akhir akibat kecederaan ringan ketika sesi pemanas badan, manakala penyerang Nicolas Jackson tidak tersenarai kerana dikaitkan dengan perpindahan keluar.
Sementara itu, Maresca mengakui The Blues bermula perlahan tetapi segera bangkit dengan semangat luar biasa.
“Hari ini kami tunjuk tenaga dan karakter sebenar. Reaksi selepas ketinggalan amat baik,” katanya.
Sebaliknya, kekecewaan kian menjerut pengendali West Ham, Graham Potter selepas The Hammers kini bolos lapan kali dalam hanya dua perlawanan pembukaan musim.
Potter, yang hanya menang lima daripada 20 perlawanan liga sejak mengambil alih pada Januari lalu, akur prestasi Hammers belum mencapai tahap diharapkan.
“Kami terlalu mudah melepaskan gol. Saya perlu bertanggungjawab kerana pasukan tidak bermain seperti sepatutnya,” katanya.