SKUAD Kelantan The Real Warriors (TRW) bakal berdepan cabaran getir menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.
Pengendali Kelantan TRW, E Elavarasan berkata, Sabah merupakan pasukan berpengalaman serta memiliki kualiti permainan yang tinggi.
“Mereka sudah lama beraksi dalam Liga Super, jadi kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar untuk mencuri mata sebagai bekalan pulang ke Kota Bharu.
“Selain pengalaman luas, pasukan lawan turut dibarisi pemain tempatan serta import yang berkualiti,” katanya.
TRW kini berada di tangga ke-12 dengan satu mata hasil satu kekalahan dan satu seri manakala Sabah FC menghuni tempat kelapan dengan satu mata selepas satu perlawanan.
Pada masa sama, Elavarasan mahu anak buahnya mengekalkan rentak kemenangan ke atas Kuala Lumpur City dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala FA minggu lalu, apabila turun menentang Sabah nanti.
“Tumpuan saya ketika latihan adalah memperbaiki prestasi pasukan berbanding perlawanan lepas. Kami perlu bekerja lebih keras untuk mencipta persembahan lebih baik kerana saingan Liga Super sangat mencabar.
“Begitu juga dari aspek keserasian, saya mahu pemain lebih mantap dan mengurangkan kesilapan kecil yang boleh membuka ruang kepada lawan mencipta jaringan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjangkakan pertembungan di Likas sengit namun mahu pemainnya tampil dengan corak permainan berkualiti tanpa memberi peluang mudah kepada Sabah.
“Walaupun beraksi di tempat lawan, saya tidak mahu pemain mudah mengalah. Mereka perlu bermain habis-habisan,” katanya. – Bernama
LIGA SUPER 2025/26
23 (SABTU)
Sabah FC lwn Kelantan TRW
(Stdm Likas, 8.15 malam)
(Astro Arena Bola – Astro GO)
PDRM FC lwn Melaka FC
(Stdm Majlis Perbandaran Selayang, 9 malam)
(TV Okey – Sukan RTM – RTMKlik)
24 (AHAD)
Kuching City lwn JDT
(Stdm Negeri, 8.15 malam)
(Astro Arena Bola – Astro GO)
Penang FC lwn Kuala Lumpur City
(Std Bandaraya, 9 malam)
(Astro Arena Bola – Astro GO)
Negeri Sembilan FC lwn Selangor FC
(Stdm Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 9 malam)
(TV Okey – Sukan RTM – RTMKlik)
* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia