georgie@hmetro.com.my
MEMULAKAN kerjaya nyanyian sejak tingkatan tiga, penyanyi dan penyampai radio, Haiza sebenarnya cuba menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan semua orang di sekolahnya.
Ketika itu, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 45, baru berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gombak di Batu Caves, Selangor dari sekolah lamanya di Pontian, Johor.
Penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug ini pada mulanya tidak terfikir ada yang akan mengecamnya terutama apabila sudah menjadi penghias muka depan majalah-majalah.
Malah, dia ‘kunci mulut’ kerana enggan orang tahu.
“Di sekolah lama di Pontian, saya memang bertudung dan turut memakainya apabila pindah ke sekolah di sini. Saya ingatkan mereka tak cam kerana saya pun memang tak nak orang tahu.
“Masalahnya, kawan sekolah memang beli majalah dan selalu mengusik muka saya sama dengan Haiza di majalah itu.
“Antaranya yang paling saya ingat apabila menjadi ‘cover’ majalah Remaja. Berbulan juga saya ‘zip’ mulut, namun lambat laun, mereka dapat hidu juga. Mana tidak, jelas terpampang biodata saya dalam majalah itu dan memang sudah tidak boleh rahsiakan lagi,” katanya.
Berkongsi momen lucu itu, Haiza juga menjadi mangsa ‘ragging’ rakan sekelasnya yang mahu kepastian dirinya penyanyi. Namun, momen itu jugalah jadi kenangan indahnya memulakan persahabatan.
“Mereka ambil beg saya dan suruh saya bergelek sebagai bukti. Saya pun bergeleklah seperti diminta sebelum kembalikan beg itu. Tapi bukanlah dibuli pun sebab momen itu agak lucu kalau ingat semula.
“Selepas itu jugalah kami mula berkawan dan mereka sentiasa menyokong saya,” katanya.
Jika dicerita pengalaman di sekolah, ada kenangan yang sebenarnya sangat meninggalkan bekas dalam dirinya sampai sekarang. Dia masih tertanya silapnya di mana.
Menurutnya, ada seorang guru disiplin di sekolahnya yang tidak senang dengannya. Bukan berdendam, cuma Haiza akui pengalaman itu benar-benar memberi kesan kepada emosinya.
“Saya tidak pernah campur aduk soal jadual seni dengan persekolahan. Walaupun saya bukan pelajar cemerlang, saya buat sehabis baik dalam pelajaran dan tidak pernah kacau sesiapa.
“Tapi dalam pada sokongan yang saya terima, guru disiplin itu seakan tidak menyukai saya. Adalah peristiwa kerja sekolah saya dicampak kasar sedangkan dengan pelajar lain, elok saja dia berikan.
“Tak sampai setahun pun di sekolah itu dan kemudian bapa saya yang juga seorang guru akhirnya pindahkan saya ke sekolah lama di Johor. Saya benar-benar tak tahu apa salah saja sampai diperlakukan begitu,” katanya.
Dalam pada itu, Haiza juga mengakui dia pernah tidur dalam bilik stor di rumah yang dikongsi bersama saudaranya sewaktu berhijrah ke Kuala Lumpur selepas tamat persekolahan.
Menurutnya, dia tidak pernah mengenal erti bermewah-mewah ketika itu walaupun namanya ‘mencanak’ dan sibuk dengan jadual seninya. Yang dia tahu, asal selesa dan bersama keluarga sudah memadai.
“Ini antara cerita yang saya tak pernah kongsi. Saya tinggal bersama adik-beradik, abang ipar dan sepupu di sebuah flat yang cuma ada dua bilik. Satu bilik lagi adalah stor dan di situlah saya tidur.
“Jadi, apabila mendapat penginapan hotel setiap kali ada tawaran persembahan, memang saya bersyukur dapat merasa keselesaan diberi itu. Mungkin lain orang suka bermewah tapi begitu pun saya bersyukur,” katanya.
Menurut Haiza, tidak lama itu barulah mereka berpindah ke rumah teres dua tingkat dan jauh lebih besar. Apabila kerjayanya makin mekar, dia memutuskan berdikari dan menyewa rumah sendiri.
ESOK: Allahyarham Jaafar Onn paling berjasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd