BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani perlu bijak membaca taktikal permainan lawan untuk pergi jauh pada Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis bermula Isnin.
Penganalisis sukan Mohd Sadek Mustafa juga berharap pasangan nombor tiga dunia itu dapat mempelbagaikan gaya permainan selain menerapkan strategi menyerang semasa beraksi.
“Mereka juga perlu bijak mengintai kelemahan lawan ketika bermain dan kemudian memanfaatkan peluang tersebut untuk meraih mata.
“Strategi ini kerap digunakan pasangan Denmark. Mereka membuka kelemahan lawan dan mengasak lawan dengan serangan bertubi-tubi,” katanya.
Kejohanan berprestij tersebut dijadual berlangsung di Adidas Arena, Paris bermula Isnin hingga 31 Ogos ini.
Justeru kata Mohd Sadek, pasukan sokongan gandingan negara itu perlu mempunyai data pasangan lawan yang akan ditentang pada kejohanan tersebut dan mempraktiskan corak permainan sendiri semasa latihan.
“Mereka merupakan atlet Road To Gold (RTG) dan boleh mendapatkan bantuan ISN (Institut Sukan Negara) untuk menganalisis kekuatan dan kelemahan pasangan lawan.
“Variasikan corak permainan untuk disesuaiakan dengan lawan yang akan ditentang nanti,” katanya.
Menurutnya, mentaliti juara juga perlu diterapkan dengan sasaran sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir dan beraksi di pentas final serta bergelar juara bolah dianggap sebagai bonus.
“Mereka menuju ke usia kemuncak. Manfaatkan usia akhir 20-an ini dengan gelaran dunia. Lazimnya buat beregu apabila berada pada usia awal 30-an agar sukar untuk mencabar pasangan baharu.
“Pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan setakat ini yang saya nampak mampu ‘melawan’ usia apabila meraih gelaran dunia pada 2019 ketika berumur 32 dan 36 tahun,” katanya.
Sze Fei-Nur Izzuddin yang mendapat bye pada pusingan pertama dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir.
Mereka bagaimanapun bakal berdepan ujian getir sama ada menentang beregu ranking kelapan dunia dari Indonesia Sabar Karyaman-Moh Reza Isfahani atau gandingan ranking ke-11 dunia dari China Liu Yi-Chen Bo Yang untuk mara ke separuh akhir.
Sekiranya situasi tersebut berlaku, Sze Fei-Nur Izzuddin yang terkenal dengan julukan Fei-Din dijangka berdepan sesama sendiri dengan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Mereka dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga apabila akan bakal bertemu rakan senegara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King atau pasangan Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh bagi slot ke suku akhir.
Sebagai rekod, Sze Fei-Nur Izzuddin bermula dengan langkah kanan pada awal musim ini apabila menjuarai Terbuka India pada Januari, namun prestasi sedikit merudum sebelum kembali bangkit apabila beraksi di pentas final Terbuka Jepun bulan lalu.






