Rentak sempurna Wan Arif-Roy King

Rentak sempurna Wan Arif-Roy King


Roy King (kanan) dan Wan Arif mara ke pusingan kedua setelah menewaskan pasangan Jepun dalam saingan awal Kejohanan Dunia di Paris pada Isnin. Foto Agensi

BEREGU lelaki negara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi menyifatkan kemenangan pertama dalam saingan awal Kejohanan Badminton Dunia 2025 pada Isnin sebagai pembakar semangat untuk terus melakar keputusan positif di Perancis.

Roy King turut mengakui dibelenggu dengan perasaan bercampur baur sebelum perlawanan, namun situasi tersebut berubah selepas meraih kejayaan pada saingan pertama itu.

Pasangan nombor 22 dunia bermula dengan langkah kanan setelah menewaskan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dari Jepun secara straight set.

“Sebenarnya sebelum perlawanan kami rasa sedikit gementar dan teruja. Selepas perlawanan ini, saya rasa lebih lega.

“Kami mendapat lebih keyakinan diri yang akan menjadi pendorong semangat untuk perlawanan seterusnya,” ujar Roy King.

Dalam aksi di Adidas Arena, Paris tersebut, juara Terbuka Macau itu menang 21-5, 21-13 dalam masa 27 minit permainan.

Sementara itu, Wan Arif mengakui strategi yang mereka praktiskan pada set pertama menjadi apabila menang mudah 21-5.

“Strategi kami memang berkesan pada set pertama. Mungkin ini adalah kelebihan kerana kami pasangan pertama beraksi di gelanggang ini.

“Namun kami masih dalam proses menyesuaikan diri dengan keadaan angin dan gelanggang. Diharapkan prestasi akan menjadi lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky bangga dengan prestasi pasangan muda itu.

“Satu permulaan yang baik. Harap mereka dapat kekal dengan prestasi yang dipamerkan ini,” katanya.

Ujian getir bakal menanti Roy King-Wan Arif apabila dijadual menentang pasangan nombor 12 dunia Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam saingan pusingan kedua pada Rabu.

Sebagai rekod, gandingan dari Thailand itu mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.



Source link

OR

Scroll to Top