am@hmetro.com.my
Ipoh: Lebih 14,000 paket ekor ayam sejuk beku seberat 29 tan metrik yang diimport dari negara China dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak melalui pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 Ogos lalu.
Paket berkenaan tertera logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selain turut dilabel makanan selamat tanggungan industri (MeSTI) selain menggunakan Bahasa Melayu pada bungkusannya.
Pengarah JKDM Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, rampasan kira-kira RM275,500 dengan anggaran jumlah duti atau cukai RM13,775.
Menurutnya, barangan berkenaan tidak mempunyai sebarang permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysian (MAQIS).
“Ia dibawa daripada China. Kita sudah semak dengan MAQIS, syarikat yang membawa masuk produk ayam ini adalah bukan yang disenarai atau disahkan.
“Hanya dua syarikat sahaja yang disahkan MAQIS. Status halal meragukan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya menumpaskan 26 kes penyeludupan membabitkan keseluruhan anggaran nilai duti berjumlah RM2.245 juta dalam Operasi Macan Legit II.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah rokok putih dan keretek dianggarkan bernilai RM22,511 dengan anggaran duti atau bernilai RM139,000.
“Rokok-rokok berkenaan adalah barang larangan di bawah Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. Modus operandinya adalah menyimpan rokok di rumah kosong sebelum dijual di pasaran tempatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd