Roy King-Arif langkah bergaya ke pusingan ketiga

Roy King-Arif langkah bergaya ke pusingan ketiga


Roy King (kanan) -Wan Arif terus curi tumpuan di Paris.

BEREGU badminton lelaki negara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi, terus mencuri tumpuan di Kejohanan Dunia apabila mengejutkan gandingan berpengalaman Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren dalam aksi pusingan kedua pada Rabu

Pasangan muda yang menghuni ranking dunia ke-22 itu tidak gentar berdepan lawan pilihan ke-12 dunia, malah tampil meyakinkan untuk menang mudah 21-13, 21-17 dalam tempoh hanya 33 minit di Adidas Arena, Paris.

Kemenangan tersebut membuktikan konsistensi Roy King-Arif yang masih segar dengan kejayaan meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka di Terbuka Macau, awal bulan ini.

Laluan lebih mencabar menanti mereka apabila dijadual bertemu rakan sepasukan dan beregu pilihan kedua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, di pusingan ketiga.

Aaron-Wooi Yik pula akan turun menentang beregu kembar Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley, pada Khamis.

Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, turut mara selepas mengetepikan pasangan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong, dengan kemenangan 21-19, 21-15.

Soon Huat-Shevon akan berdepan sesama wakil Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-10, 18-21, 21-12 ke atas wakil Jerman, Malik Bourakkadi-Leona Michalski,

Sementara itu, cabaran pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa berakhir selepas tewas 19-21, 15-21 kepada wakil dari India, P V Sindhu.



Source link

OR

Scroll to Top