KUALA LUMPUR: Dalam usaha menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Grab Malaysia tampil dengan inisiatif istimewa melalui pelancaran video muzik bertajuk ‘Keranamu Malaysia’.
Ia dilancarkan sebagai simbolik penghargaan kepada insan-insan yang menjadi penyumbang dalam kemajuan ekonomi digital negara.
Dilancarkan pada 24 Ogos lalu, video muzik ‘Keranamu Malaysia’ menekankan mesej perpaduan, ketabahan dan inovasi yang menjadi nadi kepada perjalanan Grab bersama rakyat Malaysia.
Ketua Pemasaran Grab Malaysia, Ko Li Ping berkata, karya tersebut adalah simbolik kepada semangat kerjasama rakyat Malaysia yang membentuk dan menggerakkan Grab sehingga ke tahap ini.
“Keranamu Malaysia adalah satu penghargaan buat rakyat Malaysia yang luar biasa. Video muzik ini mencerminkan semangat serta sumbangan harian mereka yang terus memacu Malaysia ke hadapan,” katanya.
Di samping itu, ia turut menzahirkan penghargaan kepada rakan pemandu, rakan penghantar serta warga kerja Grab yang saban hari menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui perkhidmatan digital.
Video muzik ini turut menggariskan bagaimana setiap inovasi yang dibangunkan, termasuk ciri seperti Family Account, Group Order dan GrabMaps selain kerjasama bersama GXBank dan Jaya Grocer dirangka dengan mengambil kira keperluan serta aspirasi rakyat Malaysia.
Selain pelancaran video muzik berkenaan, Grab turut mengukuhkan kerjasama bersama Tourism Malaysia dalam usaha mempromosikan kekayaan warisan dan kepelbagaian budaya tanah air.
Kerjasama ini diperluaskan menerusi kempen Visit Malaysia 2026 yang menumpukan kepada pengalaman kulinari tempatan serta mempromosikan Malaysia di peringkat global.
Bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan, Grab menawarkan pelbagai promosi dan tawaran istimewa merangkumi diskaun produk tempatan serta hidangan tradisi Malaysia yang boleh dinikmati melalui platformnya.
Grab Malaysia juga akan menyertai Perarakan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya pada 31 Ogos, selain turut mengambil bahagian dalam perarakan peringkat negeri di Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuantan dan Pulau Pinang.
Penyertaan itu membabitkan rakan pemandu, rakan penghantar serta warga kerja Grab bersama GXBank dan Jaya Grocer sebagai tanda kebersamaan dengan masyarakat.
Menambah kemeriahan, Grab akan menampilkan reruai khas di Putrajaya dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, pemberian barangan eksklusif serta baucar khas untuk pengunjung.
Juga, jangan lupa untuk menonton video muzik ‘Keranamu Malaysia’ di laman YouTube rasmi Grab Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd