mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih Kuala Lumpur City (KL City) FC, Vidakovic Risto mengakui skuadnya masih belum mencapai tahap kecergasan sebenar biarpun mengharungi jadual padat Liga Super bulan ini.
Katanya, pasukan Warga Kota memulakan latihan agak lebih lewat berbanding pasukan lain menyebabkan persiapan mereka terganggu.
“Kami baru kumpul pemain, ada yang baru tiba dan ramai masih belum cergas 100 peratus.
“Jadi saya anggap bulan Ogos ini ibarat pramusim untuk KL City,” katanya.
Walaupun pasukan terbabit belum cergas sepenuhnya, mereka seharusnya berbangga kerana buat pertama kali dalam tempoh lebih dua dekad sejak liga utama dijenamakan kepada Liga Super, KL City sempat berada di puncak liga selepas mengumpul 10 mata daripada empat aksi dilalui setakat ini.
Ia susulan kemenangan selesa 3-1 ke atas PDRM FC yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras, malam tadi, sekali gus melonjak ke tangga pertama buat sementara waktu.
Bagaimanapun, mereka kini di tangga kedua liga selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Imigresen FC (IFC) 3-0 pada aksi di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, petang tadi.
Gol KL City disumbangkan Safawi Rasid, Paulo Josue dan Nicolao Dumitru manakala jaringan tunggal PDRM disempurnakan Kyaw Min Oo.
Selain itu, Vidakovic memuji semangat anak buahnya yang mengutip keputusan positif dalam empat perlawanan liga dan satu perlawanan piala.
“Kami belum bermain bola sepak seperti dirancang, tetapi pemain berjuang habis-habisan. Itu yang penting.
“Pada perlawanan dengan PDRM, kegagalan menyudahkan peluang adalah lumrah bola sepak.
“Kadang jaringkan gol, kadang terlepas. Paling utama ialah kesungguhan pemain. Mereka tunjukkan pasukan ini bersatu dan kami menang perlawanan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd