37 minit cukup buat Pearly-Thinaah mengaum

37 minit cukup buat Pearly-Thinaah mengaum


Pearly-Thinaah pilihan untuk cipta impak di Paris. Foto: Agensi

Beregu badminton wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah terus garang di pentas dunia apabila mara ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia selepas menundukkan wakil Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan di Adidas Arena, Paris, Perancis.

Pasangan ranking kedua dunia itu hanya perlukan 37 minit untuk melakar kemenangan straight set 21-17, 21-14, sekali gus membuktikan status mereka sebagai antara pencabar utama gelaran kali ini.

Tampil aksi mantap tanpa banyak kesilapan mudah, Pearly-Thinaah kini bakal berdepan gandingan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Ramadhanti, bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Kemenangan Pearly-Thinaah secara tidak langsung mengubati kekecewaan kem beregu wanita selepas penyingkiran mengejut gandingan kedua negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.

Cabaran Pei Kee-Mei Xing sebelum itu mudah dihentikan pasangan dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, 11-21, 9-21 hanya dalam tempoh 34 minit.

Lebih menarik, kempen kali ini menandakan edisi keempat berturut-turut buat Pearly, Thinaah dan Mei Xing di Kejohanan Dunia sejak debut pada 2021.

Pearly-Thinaah kekal setia bergandingan di setiap edisi, manakala Mei Xing pula tampil unik apabila turun dengan tiga pasangan berbeza dalam empat penyertaan.



Source link

OR

Scroll to Top