Thinaah dan Pearly Tan (kanan) meraikan kemenangan selepas menewaskan Matsuyama-Shida pada aksi separuh akhir Kejohanan Dunia di Adidas Arena, Paris pada Sabtu. Foto AFP
BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan–M Thinaah melakar sejarah gemilang badminton Malaysia apabila mara ke pentas final Kejohanan Dunia buat kali pertama pada Sabtu.
Kejayaan dilakar Pearly–Thinaah hadir selepas selepas menumbangkan pasangan pilihan Jepun, Nami Matsuyama–Chiharu Shida14-21, 21-13, 21-12 dalam masa 63 minit bagi aksi separuh akhir di Adidas Arena, Paris.
Pencapaian itu menjadikan mereka beregu wanita pertama negara menempah tiket ke final Kejohanan Dunia, sekali gus berpeluang mengibarkan Jalur Gemilang di pentas paling berprestij dalam arena badminton.
“Saya masih tidak percaya kami berada di sini kerana beberapa minggu lalu perjalanan kami sangat sukar.
“Hanya kami dan jurulatih yang tahu apa yang dilalui. Mujur semua orang di sekeliling tidak pernah berputus asa dengan kami.

Thinaah- Pearly meraikan kemaraan ke pentas perlawanan akhir Kejohanan Dunia pada Sabtu. Foto AFP
“Kami sangat bersyukur dan gembira, tetapi dalam masa sama mahu kekal fokus kerana masih ada satu perlawanan terakhir yang perlu diharungi,” kata Thinaah ketika ditemu ramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Pearly mengakui kunci kemenangan mereka adalah sokongan padu antara satu sama lain.
“Kami saling mempercayai, tenang dan sabar. Paling penting, kami menikmati setiap mata yang diperoleh tanpa menyesal,” katanya.
Mengulas mengenai final esok, Pearly-Thinaah enggan terlalu memikirkan siapa lawan mereka sama ada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau wakil Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.
“Kami hanya mahu fokus pada permainan sendiri, mengekalkan ketenangan dan konsisten. Apa pun, kami akan berbincang dengan jurulatih dan bersedia sepenuhnya,” katanya.