Piala Asia: Malaysia terus garang, giliran Korea Selatan jadi mangsa

Piala Asia: Malaysia terus garang, giliran Korea Selatan jadi mangsa


INFOGRAFIK: Malaysian Hockey Confederation

SKUAD hoki lelaki negara terus mempamerkan prestasi meyakinkan dalam saingan Kumpulan B Piala Asia 2025 selepas menundukkan Korea Selatan 4-1 pada perlawanan kedua di Rajgir, India pada Sabtu.

Namun, perjalanan ke arah kemenangan itu tidak semudah disangka apabila anak buah Sarjit Singh dikejutkan seawal minit kedua permainan selepas Korea Selatan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang Jin Geonhyo.

Tersentak dengan gol awal itu, The Speedy Tigers segera memperkemaskan rentak permainan sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 hasil jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang menyempurnakan gerakan kemas rakan sepasukan.

Gol penyamaan tersebut menjadi pemangkin kebangkitan skuad negara, apabila hanya empat minit berselang, giliran Mohamad Ashran Hamsani pula meledak jaringan kedua pasukan menerusi gol padang yang cantik untuk merobek semangat lawan.

Belum sempat Korea Selatan bangkit, Speedy Tigers terus menambah derita mereka apabila Akhimullah sekali lagi menemui sentuhan berbisa menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34, sekali gus mengukuhkan kedudukan 3-1.

Akhimullah melengkapkan hari gemilang dengan hatrik peribadi pada minit ke-58, selepas sekali lagi menghukum kelekaan benteng lawan dengan gol padang, menoktahkan kemenangan bergaya 4-1 buat negara.

Kejayaan ini bukan sahaja memastikan anak buah Sarjit mengekalkan rekod bersih selepas turut membelasah Bangladesh 4-1 pada aksi pembukaan.

Tiga mata diraih juga membolehkan Speedy Tigers mengesahkan kemaraan ke pusingan Super Four, biarpun berbaki satu aksi peringkat kumpulan menentang Taiwan pada Isnin.



Source link

OR

Scroll to Top