redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bangi: Sukar bagi Jakfar Rosli buat keputusan meninggalkan kerjaya sebagai jurutera pada 2011 dan pulang ke tanah air selepas lima tahun merantau di luar negara.
Walaupun pendapatan bulanannya ketika itu lima angka, keinginan keluar dari zon selesa lebih besar mendorong Jakfar, 51, menceburi bidang perniagaan dengan menjadi penjual sate.
Bermula dengan mengambil tempahan katering dan menjual kuih bazar Ramadan, Jakfar berusaha mengembangkan perniagaan sate hingga dapat membuka dua cawangan restoran di Taman Seri Serdang, Seri Kembangan serta Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.
Jakfar yang berasal dari Bintulu, Sarawak mengakui hidup selesa dengan kerjaya terutama ketika bekerja di Riyadh, Arab Saudi kerana tidak terbeban dengan masalah kewangan dan mendapat banyak faedah termasuk yuran pengajian anak ditanggung majikan.
“Sebenarnya selesa kerja di Arab Saudi kerana gaji saya mencecah RM40,000 sebulan dan tak dikenakan cukai.
“Kehidupan di Arab Saudi pun baik cuma kerja saya terikat dengan projek dan sebelum pulang ke tanah air, saya ditawar majikan untuk ke Mesir atau Kenya.
“Memikirkan beberapa faktor serta situasi di Kenya dan Mesir ketika itu, tak berbaloi rasanya saya bawa keluarga tinggal di dua negara itu jadi ambil keputusan balik ke Malaysia,” katanya.
Menurut Jakfar, tahun pertama selepas pulang ke tanah air, dia bekerja sebagai timbalan pengarah projek syarikat telekomunikasi manakala isterinya, Iza Syuhaila Ismail, 49, mengambil tempahan katering.
Tahun berikutnya, Jakfar berhenti kerja dan membantu isteri secara sepenuh masa hingga sepakat menjual sate kerana berkongsi minat dalam bidang perniagaan.
“Saya ambil keputusan jual sate kerana isteri asal dari Muar, Johor dan nampak tak ada orang jual sate waktu pagi di Lembah Klang.
“Cabarannya nak dapatkan pelanggan terutama selepas buka restoran pada 2017 selain tiada pengalaman asas dalam bidang perniagaan kerana buat pun sebab jadi satu kejutan juga waktu itu apabila kena buat semua benda.
“Malu pun ada kerana pernah satu ketika, saya edar risalah untuk promosi restoran pada 2018 dan orang yang ambil itu buang di depan mata saya. Itu belum lagi ditengking dan dibaling pinggan oleh pelanggan yang tak berpuas hati,” katanya.
Meskipun begitu, Jakfar cuba bertahan dan jadi kuat kerana sokongan keluarga terutama isteri tercinta.
“Saya pun tak pernah menyesal berhenti kerja sebagai jurutera, tapi bersyukur kerana selepas beberapa tahun tinggalkan kerjaya, saya nampak seorang demi seorang rakan balik ke tanah air.
“Nampak mereka sukar nak cari kerja dengan gaji lebih besar jadi mungkin keputusan saya berhenti awal tepat pada ketika itu walaupun tak mudah.
“Sekarang pun saya masih usaha pertahankan perniagaan dan buka cawangan kedua pada 25 Disember tahun lalu pun sebab nak bagi peluang kepada lebih ramai orang merasai makanan tradisional kerana selain sate, ada aneka masakan Johor dijual,” katanya yang juga bapa kepada enam anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd