Peserta himpunan suara tiga tuntutan untuk tindakan kerajaan Indonesia

Peserta himpunan suara tiga tuntutan untuk tindakan kerajaan Indonesia


suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga tuntutan disuarakan dalam Himpunan Seruan Solidariti Aksi Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Republik Indonesia, di sini malam ini.

Penyelaras Mandiri, Wong Kukui berkata, antara tuntutan utama ialah membebaskan segera semua aktivis yang ditahan sepanjang aksi massa (protes di Indonesia) pada 25 hingga 31 Ogos lalu.

Katanya, pihaknya juga menuntut supaya segala bentuk intimidasi terhadap aktivis dan masyarakat sivil di negara itu dihentikan.

Wong berkata, anggota polis yang didakwa terbabit dalam kematian Allahyarham Affan Kurniawan ketika demonstrasi juga mesti dipecat dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Selain itu, kami juga dimaklumkan bahawa penangkapan dilakukan secara paksa terhadap peserta himpunan tanpa menunjukkan surat perintah rasmi dan tanpa alasan munasabah.

“Tindakan ini jelas pelanggaran prinsip demokrasi, dan pencabulan hak asasi manusia,” katanya pada himpunan itu.

Himpunan yang bermula sekitar 8 malam itu dihadiri puluhan orang termasuk mahasiswa tempatan serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas lanjut, Wong menegaskan, dalam sebuah negara demokrasi, rakyat berhak untuk bersuara, berorganisasi dan berhimpun secara aman tanpa ugutan pihak berkuasa.

Katanya, Malaysia sebagai negara jiran tidak boleh berdiam diri dalam isu berkenaan.

Sementara itu, Koordinator Kebangsaan Liga Mahasiswa Malaysia, Alyaah Hani berkata, pihaknya tidak berdiam diri dan akan terus menyuarakan solidariti bersama mahasiswa di Indonesia.

“Kami wakil gerakan mahasiswa di sini akan terus memperkuatkan suara kawan-kawan mahasiswa di Indonesia.

“Kami menuntut pihak pemerintahan Indonesia untuk membebaskan semua aktivis mahasiswa dan aktivis rakyat yang ditahan,” katanya.

Alyaah turut menyeru supaya segala bentuk kekerasan dihentikan serta ruang demokrasi dipelihara.

Katanya, pihaknya juga bersedia memperluaskan solidariti ke peringkat antarabangsa sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan mahasiswa di republik itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top