Brussels: Manchester City perlu menunjukkan ketahanan mental yang lebih kuat selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pemain sayap kelab itu, Jeremy Doku.
Doku ketika ini sedang melakukan persiapan bersama skuad Belgium bagi dua aksi kelayakan Piala Dunia minggu ini.
“Keadaan tidak berjalan dengan baik,” akui pemain antarabangsa Belgium itu ketika ditanya mengenai prestasi City pada sidang media menjelang perlawanan menentang Liechtenstein, Khamis ini.
Manchester City hanya meraih tiga mata daripada tiga perlawanan awal musim baharu EPL.
Selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers dalam aksi pembukaan, mereka tewas kepada Tottenham Hotspur dan Brighton & Hove Albion dalam dua perlawanan berikutnya.
“Selepas perlawanan pertama, semua orang rasa baik, tetapi selepas itu, ia jadi lebih sukar.
“Saya rasa kami terlalu cepat hilang semangat apabila dibolosi. Dari segi mental, kami perlu lebih kuat,” kata Doku kepada wartawan.
Menurutnya, situasi itu mungkin berpunca daripada rehat yang tidak mencukupi selepas City beraksi di Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat (AS) pada Jun lalu.
“Saya hanya mula berlatih semula pada 28 Julai. Kali terakhir saya menjalani enam minggu penuh pramusim adalah bersama Anderlecht, lima tahun lalu.
“Tapi kami bukan satu-satunya kelab yang berdepan keadaan ini, ia turut dialami banyak pasukan lain,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





