aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harapan untuk melihat Muhammad Azeem Fahmi beraksi di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini tidak akan menjadi kenyataan apabila Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mengesahkan pelari pecut sensasi negara itu tidak mengambil bahagian di temasya berkenaan.
Biarpun nama pemegang rekod kebangsaan itu disenaraikan namun selepas perbincangan secara terperinci dengan kesemua pihak berkepentingan termasuk jurulatihnya, Ken Harnden, kata sepakat akhirnya dicapai dengan memutuskan bahawa Azeem menarik diri daripada beraksi temasya dwi tahunan berkenaan.
Karim berkata, ketiadaan Azeem yang kini melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat tidak dapat dielakkan kerana atlet berusia 20 tahun itu dalam proses pemulihan selain memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.
“Memang kalau ada Azeem, ia akan memberi semangat dan kekuatan kepada skuad olahraga negara. Tetapi kita tidak dapat elak kerana dia ada komitmen akademik selain sedang membuat persediaan untuk Komanwel.
“Dia berada jauh, perlu terbang balik dan itu boleh mengganggu persiapan. Jadi kita doakan sahaja dia dapat membuat persiapan terbaik untuk 2026,” katanya.
Karim menjelaskan ketiadaan Azeem itu menyaksikan tugas dalam acara riben biru di temasya dwi tahunan itu akan digalas pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Jonathan Nyepa.
Danish berusia 18 tahun membuktikan kemampuannya apabila meraih emas ketika beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia dengan catatan masa 10.26 saat (s) baru-baru ini.
Karim berkata, biarpun merasai ketiadaan Azeem namun ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelari lain untuk menyinar.
“Kita ada pelari seperti Danish yang sudah mencatat 10.26s walaupun belum menyamai catatan terbaik Azeem 10.09s. Dengan adanya mereka, kita yakin skuad ini tetap berdaya saing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd