KRW, Seoul Phoenix terikat tanpa jaringan

KRW, Seoul Phoenix terikat tanpa jaringan

KRW, Seoul Phoenix terikat tanpa jaringan


AKSI sengit antara Kelantan Red Warriors FC (KRW) dan Seoul Phoenix berakhir tanpa jaringan apabila kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Sabtu.

Seawal permainan bermula, kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan bertenaga, saling berbalas serangan dalam tempo pantas.

KRW yang turun selaku pasukan pelawat lebih banyak mencipta peluang berbahaya di depan gawang lawan, namun benteng pertahanan Seoul Phoenix  kekal utuh menafikan setiap usaha mereka.

Begitupun KRW hampir berada di depan menerusi sepakan percuma kapten pasukan, Otis Khan Mohammed pada minit ke-35, namun rembatannya sedikit tersasar ke kanan pintu gol. Percubaan susulan juga tidak berhasil, sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.

Bersambung babak kedua, anak buah Irfan Bakti Abu Salim tampil dengan semangat juang tinggi apabila melancarkan siri serangan untuk menembusi gawang tuan rumah.

Otis sekali lagi gagal memanfaatkan peluang terhidang pada minit ke-58 apabila sepakan percumanya sekadar melewati palang gol.

Peluang keemasan hadir menerusi Emmanuel Mbarga apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Seoul Phoenix, Jihun Oh, namun percubaannya hanya singgah pada tiang gol.

Shafiq Afifi diusung keluar selepas pitam sebelum dibawa menaiki ambulans untuk menerima rawatan di hospital. – FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

KRW dikejutkan pada minit ke-72 apabila penjaga gol mereka, Shafiq Afifi Suhaimi, tiba-tiba pitam di hadapan gawang dipercayai selepas terhantuk pada tiang ketika cuba menyelamatkan percubaan lawan pada minit ke-62. Beliau terpaksa diusung ke ambulans sebelum dibawa ke hospital.

Kedua-dua pasukan terus mengasak hingga wisel penamat, namun masing-masing gagal menemui jaringan dan keputusan akhir kekal 0-0.



Source link

OR

Scroll to Top