Permohonan projek baharu dinilai teliti SPRM demi rakyat

Permohonan projek baharu dinilai teliti SPRM demi rakyat


anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 20 permohonan projek baharu dari Bahagian dan Negeri bagi dilaksanakan pada Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Tahun 2027.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi berkata, empat permohonan baharu dan dua projek sambungan bagi RP1 RMK-13 pula sedang menunggu kelulusan dari Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (BKKA), Kementerian Ekonomi.

“Saya berharap ahli jawatankuasa dapat memainkan peranan mempertimbangkan semua permohonan ini dengan sebaiknya. Semua pengarah Bahagian dan Negeri memainkan peranan penting untuk menilai dan menentukan keutamaan setiap permohonan projek atau program baharu,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Projek Baharu (JKPPB) SPRM Bilangan 1 Tahun 2025 di St.Giles Wembley Hotel, Pulau Pinang di sini, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat ini penting sebagai langkah proaktif dalam menilai permohonan projek baharu dikemukakan oleh Bahagian dan SPRM Negeri di bawah Peruntukan Pembangunan mengikut RP bagi setiap Rancangan Malaysia (RMK).

Katanya, ia juga bertujuan menilai secara teliti setiap permohonan projek fizikal dan bukan fizikal yang akan diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan (JKP) Bilangan 2 Tahun 2025 yang dijadualkan pada November ini.

“Keputusan mesyuarat ini akan menjadi asas kepada permohonan projek baharu bagi RP2 RMK-13 Tahun 2027 di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan seterusnya ke BKKA, Kementerian Ekonomi.

“Bengkel ini turut memperkukuh kefahaman pegawai pembangunan daripada SPRM Bahagian dan Negeri terhadap keperluan asas permohonan projek, termasuk garis panduan, pekeliling, akta-akta sokongan, kelulusan pengurusan tertinggi dan Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) bagi projek ICT serta data atau kajian keperluan mendesak.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK-13 pada 31 Julai lalu memfokuskan kepada tiga teras utama Ekonomi Madani termasuk memperkukuh takelola baik dengan memastikan perkhidmatan awam yang telus, cekap dan responsif serta memperkukuh kepercayaan rakyat,” katanya.

Datuk Indera Junipah berkata, SPRM akan menekankan kepentingan supaya setiap pembentangan projek dibuat secara fokus dan berasaskan keperluan sebenar, dengan sokongan panel penilai yang dilantik.

Mesyuarat ini juga mencerminkan komitmen SPRM dalam memperkukuhkan tadbir urus pembangunan dan menyokong agenda reformasi sektor awam melalui pelaksanaan projek yang berasaskan keperluan, berstruktur dan berlandaskan integriti.

Turut hadir Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top