Pemain dan pengurusan pasukan SMK Meru meraikan kejayaan merangkul Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 pada Sabtu. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya
DISIPLIN tinggi dan semangat juang luar biasa menjadi resipi kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru menjuarai Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 selepas menewaskan SMK Seksyen 19 dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pengendali SMK Meru, Sabri Jaafar berkata, beliau bangga dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya sejak peringkat awal kejohanan hingga mampu menamatkan kempen kali ini selaku juara.
“Pasukan menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk memenangi perlawanan malam ini. Disiplin tinggi dalam diri setiap pemain amat membanggakan saya.
“Faktor inilah yang membolehkan SMK Meru muncul juara biarpun berdepan tentangan sengit daripada SMK Seksyen 19,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam aksi penentuan itu, Seksyen 19 terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Hariz Syahmi Shaiful Yazed pada minit ke-48, sebelum Meru bangkit menyamakan kedudukan enam minit kemudian hasil sentuhan Adli Naqiuddin Akhmad Asyarafadean.
Keputusan 1-1 kekal hingga tamat masa penuh sebelum SMK Meru menoktahkan kejuaraan melalui penentuan sepakan penalti 5-4.
Sabri menambah, konsistensi dan keupayaan bangkit selepas dikejutkan jaringan awal lawan menjadi bukti kekuatan mental anak buahnya sepanjang kejohanan.
“Pemain sentiasa kembali fokus dan menunjukkan semangat juang tinggi untuk memastikan kemenangan, seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir ini.
“Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan dan doa semua terutama pengetua Mohd Hijazi Mohd Harawi; Yang Dipertua PIBG Zakaria Ishat, guru-guru, ibu bapa dan penyokong SMK Meru yang hadir memberikan sokongan di Stadium MBPJ,” jelasnya.
Dengan kemenangan itu, SMK Meru membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, manakala SMK Seksyen 19 selaku naib juara menerima RM7,000.
Kejohanan ini mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.