EBRC himpun 22 pasukan, meriahkan karnival ragbi akar umbi

EBRC himpun 22 pasukan, meriahkan karnival ragbi akar umbi


ELMINA Bronco Rugby Club (EBRC) menganjurkan karnival perlawanan persahabatan ragbi menghimpunkan 22 pasukan daripada 11 kelab sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.

Presiden EBRC, Eznan Fahim Mohamed Fahim berkata, program itu bertujuan mempromosikan sukan ragbi kepada komuniti dan memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak merasai pengalaman bermain ragbi dalam suasana mesra dan inklusif.

“Perlawanan ini melibatkan beberapa kategori usia antara lapan hingga 12 tahun serta kategori perempuan bawah 15 tahun. Pendekatan ini membuktikan ragbi bukan hanya untuk golongan dewasa tetapi sesuai diperkenalkan kepada kanak‑kanak sejak usia muda.

“Berbeza kejohanan biasa menumpukan kepada mencari juara, EBRC membawa konsep meraikan semua pemain. Kami mahu setiap kanak-kanak merasai pengalaman bermain ragbi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Jelasnya, karnival itu memberi peluang kepada mereka yang tidak berpeluang bermain di kejohanan besar dapat beraksi dan menikmati keseronokan permainan.

“Pendekatan ini memastikan lebih ramai kanak-kanak dapat melibatkan diri, sekali gus menggalakkan minat terhadap sukan ragbi,” katanya.

Yi Wei (tengah) bersama Eznan (dua dari kiri) ketika karnival perlawanan persahabatan ragbi yang berlangsung di Padang MBSA Denai Alam pada Sabtu.

Terdahulu, acara tersebut menerima sokongan padu pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku selaku Presiden Kesatuan Ragbi Selangor (KRS), Lim Yi Wei; Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 22 Kota Anggerik dan Muhammad Shakir Ameer Mohidee.

Tambah Eznan, selain perlawanan ragbi pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk menarik kehadiran komuniti.

“Antaranya gerai makanan dan vendor tempatan, ruang pempamer Kolej Yayasan Saad, pemeriksaan kesihatan percuma Ara Damansara Medical Center (ADMC), jualan barangan eksklusif Karangkraf dan Torpedo serta kempen komuniti Arus Oil yang menawarkan perkhidmatan pembelian minyak masak terpakai.

“Aktiviti ini bukan sahaja menjadikan acara lebih meriah, tetapi mengeratkan hubungan antara kelab ragbi, pemain dan masyarakat setempat. Penganjuran ini diharap menjadi pemangkin kepada perkembangan ragbi di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda dan wanita

“Kami juga ingin merakam penghargaan kepada kelab yang hadir bagi menjayakan karnival Ragbi kali pertama ini seperti KL Tigers, KL Saracens, Royal Selangor Club (RSC), Cyberjaya Cyborg, Putrajaya Rugby Academy, SK Saujana Impian Troopers, Bukit Jelutong Rugby Club (BJRC), PinkBlitz, DU Titaness dan Hayato Rugby Academy,” katanya.

Ujarnya, pihaknya optimis ragbi akan terus berkembang sebagai sukan komuniti yang mendidik nilai disiplin, kerja berpasukan dan keberanian.

Sementara itu, Yi Wei menzahirkan harapan agar lebih banyak syarikat dan institusi tempatan dapat berganding bahu bersama kelab-kelab ragbi serta KRS bagi memperkukuh mutu dan prestasi sukan ragbi di negeri ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada EBRC atas kejayaan menganjurkan karnival ragbi yang berlangsung dengan meriah serta memberi peluang kepada kategori kanak-kanak untuk beraksi di padang.

“Sokongan padu daripada para penaja juga amat membanggakan dan membuktikan komitmen bersama dalam memajukan sukan ini,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top