Komunikasi jadi kekuatan Harimau Malaya – Ahmad Syihan

Komunikasi jadi kekuatan Harimau Malaya – Ahmad Syihan


Ahmad Syihan Hazmi dedah komunikasi baik penyumbang kepada kejayaan pasukan. – foto fb Football Association of Malaysia

KOMUNIKASI baik sesama pemain dilihat sebagai antara faktor utama yang membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Palestin 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

Perkara itu didedahkan oleh penjaga gol skuad negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang turut berbangga dengan aksi bertenaga dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan sepanjang perlawanan sehingga berjaya merealisasikan kemenangan.

“Alhamdulillah, untuk perlawanan malam ini, pemain beraksi secara berpasukan dan memberikan komitmen lebih 100 peratus serta mengekalkan momentum sepanjang 90 minit permainan.

“Kami saling berkomunikasi bagi memastikan setiap pemain berada di posisi yang betul dan membentuk barisan pertahanan yang tersusun. Dengan cara ini, kami dapat beraksi mengikut strategi dan formasi yang diterapkan oleh jurulatih.

“Kesungguhan yang dipamerkan rakan sepasukan amat baik dan saya tabik kepada semua pemain dalam pasukan ini,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 itu, skuad Harimau Malaya menewaskan Palestin hasil jaringan tunggal penyerang, Joao Figueiredo, seawal minit ke-2.

Lebih manis, Ahmad Syihan turut dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan setelah mempamerkan aksi cemerlang menafikan beberapa percubaan skuad Lions of Canaan sepanjang perlawanan.

Sementara itu, Ahmad Syihan turut mengingatkan rakan sepasukan agar tidak terlalu dibuai dengan kemenangan tersebut, sebaliknya terus berusaha memperkukuh pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang.

Katanya, masih terdapat ruang yang perlu ditambah baik dalam usaha memastikan skuad negara memberikan persembahan yang lebih memberangsangkan.

“Kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan keputusan malam ini. Perjalanan kita masih jauh dan fokus kita adalah untuk layak ke Piala Asia (AFC). Kita perlu tambah baik apa yang perlu.

“Bagi saya sendiri, saya tidak boleh berada dalam situasi berpuas hati dan perlu bekerja lebih kuat untuk meningkatkan kualiti permainan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top