Rindu suara ibu mengaji, dengkur ayah – anak pasangan mati lemas di Pantai Merchang

Rindu suara ibu mengaji, dengkur ayah – anak pasangan mati lemas di Pantai Merchang


am@hnetro.com.my

Marang: “Kami rindu sangat suara ibu mengaji dan dengkur ayah. Kini suara-suara itu menjadi kenangan selepas mereka sudah tiada (meninggal dunia),” kata Nur Nabilah Abdul Rahim, 23.

Nur Nabilah adalah seorang daripada enam beradik yatim piatu selepas Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, ditemukan lemas di Pantai Merchang di sini, akhir bulan lalu.

Anak ketiga yang kini tinggal di rumah peninggalan ibu bapanya di Kampung Pulau Kerengga di sini, berkata, ketika hayat arwah ibu setiap hari membaca al-Quran selepas solat Maghrib sementara menunggu waktu Isyak dan arwah ayah pula ke masjid di kampung berkenaan.

“Ayah kalau tidur mesti berdengkur dan kini apabila ayah dan ibu tiada, suara itu menjadi kerinduan buat kami.

“Pemergian mereka sekelip mata rumah ini menjadi sunyi. Biasanya setiap pagi akan dengar bunyi ibu memasak di dapur siapkan sarapan untuk ayah sebelum ke laut.

“Kami sangat merindui suara-suara itu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu di rumahnya, hari ini.

Kunjungan Skuad Prihatin PERKESO diketuai Pengarahnya, Suhara Mustaffa bagi menyempurnakan bayaran Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada enam beradik terbabit.

Nabilah yang sebelum ini bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Selangor mengambil keputusan berhenti untuk menjaga adik beradiknya yang bersekolah.

Katanya, dua adiknya, Nur Najihah, 16, dan Nur Nazirah, 15, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang dan sangat memerlukan perhatian.

Katanya, Nur Nazirah sangat rapat dengan ayah dan ibu kerana dia banyak menghabiskan masa bersama di rumah memandangkan adik beradik lain bekerja.

“Nur Najihah tinggal di asrama dan hanya sesekali pulang ke rumah. Kakak sulung, Nur Nadhirah (26) bekerja sebagai guru di PASTI di Serating, Merchang manakala abang, Muhammad Aniq Arsyad (24) adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak dan anak keempat, Muhammad Haziq Adha (19) belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya yang akan menyambung pengajiannya dalam Jurusan Sains Akuakultur di Universiti Malaysia Terengganu pada Oktober depan.

Nabilah berkata, dia adik beradik reda dengan pemergian kedua orang tuanya dan menghinakan wang bantuan PERKESO sepenuhnya untuk kegunaan belajar tiga adiknya.

Dia juga bersyukur atas keprihatinan penduduk dan kawan-kawan arwah bapa yang sangat mengambil berat terhadap mereka adik beradik.

Katanya, kawan arwah ayah sering ke rumah bertanya khabar dan sentiasa memastikan keselamatan mereka adik beradik terjamin.

“Kawan ayah juga akan pasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah bagi memastikan keselamatan kami,” katanya.

Sementara itu, Suhara berkata, tiga daripada enam anak arwah yang berusia 21 tahun ke bawah layak menerima faedah selepas mendapati arwah bapa mereka adalah seorang pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri).

Katanya, tiga beradik itu akan menerima bayaran FOT sebanyak RM850 setiap bulan dan bayaran itu layak diterima sehingga mencapai usia 21 tahun selain bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 serta barangan keperluan asas yang diberikan secara sekali bayar.

“Tiga beradik ini juga akan dijadikan sebagai anak angkat PERKESO dan mendapat perhatian, sokongan pendidikan dan perlindungan yang sewajarnya demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top