Soalan:
Di dalam syurga nanti semua ahli syurga adalah pasangan suami isteri. Jadi saya ingin tahu adakah di dalam syurga akan ada berkeluarga seperti di dunia, maksud saya adakah isteri ahli syurga akan melahirkan anak?
Jawapan:
Ulama ahlu sunnah wal jamaah sepakat bahawa sekalian ahli syurga akan dikurniakan apa yang mereka inginkan sama ada berupa tempat tinggal dan makanan dan pakaian dan hiburan dan lain-lain.
Maka jika ada di kalangan ahli syurga yang inginkan anak, maka Allah Taala akan memberikan kepadanya anak dan menurut satu Riwayat, perempuan ahli syurga melahirkan anak tidak seperti di dalam dunia dengan merasai sakit dan sebagainya bahkan melahirkan anak pada saat mana yang dia suka.
Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. katanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :
الْمُؤْمِنُ إِذَا اشْتَهَى الْوَلَدَ فِي الْجَنَّةِ كَانَ حَمْلُهُ وَوَضْعُهُ وَسِنُّهُ فِي سَاعَةٍ كَمَا يَشْتَهِي
Ertinya: “Orang mukmin apabila ingin ia akan anak di dalam syurga nescaya adalah hamilnya dan beranaknya dan membesarkannya pada masa yang dia inginkan.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Manakala sebahagian ulama berkata di dalam syurga sekalipun jika mereka inginkan anak akan diberikan akan tetapi mereka tidak inginkannya.
Berkata Ishaq bin Ibrahim dan lainnya:
كما في الحديث (ان المؤمن إِذَا اشْتَهَى الْوَلَدَ فِي الْجَنَّةِ كَانَ فِي سَاعَةٍ وَاحِدَةٍ كَمَا يَشْتَهِي ) وَلَكِنْ لَا يَشْتَهِي
Ertinya: “Sebagaimana yang datang pada hadis: Orang mukmin apabila ingin ia akan anak di dalam syurga nescaya adalah hamilnya dan beranaknya dan membesarkannya pada masa yang dia inginkan. Akan tetapi tiadalah dia inginkan.”
Berkata Imam Al-Qurtubi:
وقد اختلف العلماء في هذا فقال بعضهم ان في الجنة جماعا ولا يكون منه ولد وبه قال مجاهد وطاوس وابراهم النخعي
Ertinya: “Dan sungguh telah bersalahan oleh ulama pada masalah ini. Maka telah berkata setengah dari mereka bahawasanya di dalam syurga itu ada hubungan suami isteri dan tidak ada daripadanya anak. Dan dengannyalah berkata oleh Imam Mujahid dan Thawus dan Ibrahim An-Nakhaie.” (Kitab Tazkiratul Qurtubi)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 18/8/2024
Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.